Tae-su mungkin terlepas aksi di Cheras, 2 nama termasuk Baddrol dipetik jadi pengganti


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Ta-su dilayangkan kad kuning pada perlawanan Sabah FC menentang Skuad Harimau Selatan pada Jumaat lalu. — Facebook/SabahFC

KEKALAHAN besar 0-4 yang dialami Sabah FC ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) Jumaat lalu pastinya amat sukar untuk ditelan rata-rata penyokong pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Selain mengakui kehebatan pendahulu Liga Super itu, rata-rata daripada mereka juga tidak melepaskan peluang meluahkan kekecewaan terhadap pemain yang diturunkan.

Ini adalah kerana mereka dikatakan tampil dengan persembahan longlai yang mana memudahkan usaha skuad Harimau Selatan untuk menembusi benteng Sabah FC.

Namun, apa yang turut menggusarkan pengikut setia Sang Badak adalah nasib pasukan apabila kapten mereka, Park Tae-su dikhabarkan bakal terlepas aksi Liga Super selepas ini.

Ta-su yang dilayangkan kad kuning dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu terpaksa akur dengan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bahawa dia akan digantung satu perlawanan.

339275225_578408424256011_5267941322035012261_n (1)

Selain Baddrol (kiri), penyokong juga mengharapkan agar Rawilson dapat diturunkan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada 5 April ini. — Facebook/SabahFC

Ketiadaan pemain kelahiran Korea Selatan itu pastinya cukup merunsingkan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) dengan Tae-su merupakan tonggak pasukan musim ini.

Selain berpengalaman dalam mengendalikan rakan sepasukan, empat gol yang dijaringkan setakat ini meletakkannya sebagai salah seorang penyumbang gol terbaik buat Sabah FC.

Pada masa sama, Tae-su yang mahir berbahasa Melayu itu juga dikatakan kunci utama komunikasi di antara pemain ketika berada atas padang.

Sehubungan itu, dengan ketiadaan tonggak semasa perlawanan akan datang, penyokong fanatik skuad Sang Badak mengharapkan agar kekosongan pemain tersebut dapat digantikan dengan pemain yang boleh memberikan impak besar pada perlawanan akan datang.

310993111_215680107460221_2806438231115274069_n

Pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin. — Facebook/SabahFC

Seorang penyokong Lecter Joily mengharapkan agar bekas kapten Sang Badak, Baddrol Bakhtiar diturunkan bagi menggantikan tempat Tae-su.

"Turunkan Baddrol, jangan simpan dia di bangku simpanan," katanya.

Lester Joakim turut mengharapkan agar Baddrol diturunkan dalam kesebelasan utama.

"Tolong turunkan Baddrol sebagai pemain. Dia masih lagi 'berbisa' seperti pemain yang lain. Jangan lupa, Baddrol pernah menyumbang kepada pasukan Sabah FC," katanya.

Selain Baddrol, ada dalam kalangan penyokong turut mencadangkan agar Stuart Wilkin bagi menggantikan tempat Tae-su.

Vapsoon Momintal mencadangkan agar Stuart Wilkin dimasukkan dalam kesebelasan utama bagi menguatkan bahagian tengah pasukan kesayangan mereka itu nanti.

"Saya cadangkan Baddrol ganti Tae-su dan Stuart Wilkin dimasukkan nanti dalam perlawanan akan datang. Pasti kombinasi dua pemain ini dapat memantapkan pasukan.

Sementara itu, Jovian Aping pula meminta Rawilson Batuil diturunkan sebagai kesebelasan utama bagi memantapkan pasukan kesayangannya itu.

"Pilihan aku Rawilson untuk menggantikan Tae-su. Dia pun okay dan lama sudah tidak diturunkan. Kita bagi anak jati main dulu," katanya.

Skuad Sang Badak akan meneruskan saingan Liga Super dengan perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada 5 April ini yang mana akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram