JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Ronnie (kiri) dan Obregon (kanan) kini mendapat kritikan daripada penyokong pasukan masing-masing.

KINI penyokong Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh duduk semeja untuk membincangkan masalah ketumpulan penyerang import pasukan masing-masing di pentas Asia.

Selangor dan JDT kedua-duanya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol sebelum dinafikan oleh penjaga gol lawan dan nasib tidak menyebelahi mereka untuk mengutip tiga mata penuh.

JDT yang mengetuai wakil dari Malaysia tewas dengan keputusan 0-1 selepas ditundukkan oleh Shandong Taishan di China dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) meskipun mempunyai peratusan pengawalan bola yang tinggi sepanjang permainan pada Selasa (26 November).

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga bintang Muangthong United jadi tugas getir pertama Katsuhito Kinoshi kemudi Selangor FC

BACA LAGI: Darren Lok jadi 'kapla' Sabah, fans tak puas hati taktikal Alto Linus walaupun menang

Manakala Selangor, peluang mereka telah dinafikan oleh tiang gol pihak lawan apabila rembatan-rembatan dilakukan pemain-pemain Gergasi Merah tidak mahu masuk ke dalam gawang gol Muangthong United.

Keputusan itu menyaksikan Selangor tewas buat kali yang kedua dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2)dengan keputusan 1-2 pada Khamis (28 November).

Hasil daripada keputusan itu, penyokong JDT dan Selangor jelas tidak berpuas hati dengan persembahan penyerang import masing-masing iaitu Jorge Leonardo Obregon (JDT) serta Ronnie Alan Fernandez (Selangor).

Penyokong kedua-dua pasukan berpendapat penyerang import mereka wajar dikeluarkan daripada kesebelasan utama kerana mengganggu rentak permainan.

"Kalau Bergson mendapat peluang untuk beraksi berbanding Obregon pada separuh masa pertama, pastinya kita dah berjaya membunuh perlawanan.

"Saya pelik kenapa jurulatih masih mahu menggunakan Obregon pada separuh masa pertama, saya gagal melihat kualitinya sebagai penyerang," kata Vincent T Ryushou.

"Kekalahan JDT adalah jurulatih sendiri, JDT kawal permainan. Silap pergi masukkan Obregon, lain kali masukkan Heberty (Fernandes) dan Bergson awal-awal," ujar Nor Haziq.

"Walaupun saya penyokong tegar Selangor, tapi untuk wakil negara tetap sokong (JDT) juga. Cuma yang geram, sayang betul 'coach' dekat Obregon itu. Saya rasa Bergson lagi berfungsi," jelas Shahzann Hj Anuar.

Manakala di pihak Selangor pula, walaupun Ronnie antara penyerang yang tersenarai dalam senarai penjaring terbanyak Liga Super ia belum cukup untuk menambat hati penyokong Gergasi Merah.

"Pembelian penyerang yang merugikan, Ronnie harus direhatkan, Faisal Halim patut diturunkan awal sikit. Skil individu menarik, cuma kena lebih berani mencuba di kawasan D (kotak penalti)," ujar Khalid Al Haj.

"Ronnie dah boleh kawan dengan Obregon," kata Muhamad Zaki.

"Corak permainan ada beza, cuma saya rasa Ronnie kena sesiapa cuba bawa dia mandi bunga," luah Kamal Abu Khalish.

Ronnie dan Obregon antara pemain import baharu yang dibawa masuk oleh pihak pengurusan JDT serta Selangor untuk memperkuatkan barisan serangan pasukan masing-masing.

Namun sehingga kini, rekod kedua-dua pemain itu di pentas Asia tidak memberangsangkan apabila hanya menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan.

Jikalau persembahan Obregon dan Ronnie masih kekal sama sehingga penghujung musim, peluang untuk melihat aksi mereka berdua di Liga Super tahun depan pastinya tipis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram