Tak mustahil 3 lagi bintang ikut jejak Sony, Irfan Zakaria tinggalkan Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Sony (kiri) dan Irfan difahamkan akan meninggalkan kelab Utara tanah air itu dalam masa terdekat. — Facebook/KDA FC

SITUASI dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak perlu diceritakan lagi memandangkan terdapat lambakan perkara dilaporkan mengenai nasib buruk dihadapi kelab Utara tanah air berkenaan.

Pemergian ketua jurulatih, Nafuzi Zain merupakan petanda keadaan buruk dihadapi skuad Sang Kenari sudah semakin memuncak meskipun terdapat pelbagai usaha untuk menyelesaikannya.

Namun, situasi buruk itu semakin menerima perhatian media tempatan apabila beberapa pemain dikhabarkan akan mengikut jejak pengendali muda tersebut selepas kebajikan mereka terus diabaikan.

BACA LAGI: KDA FC terima perletakan jawatan Nafuzi Zain walaupun berat hati, Victor Andrag pengganti interim

BACA LAGI: Bek tengah dicanang ikut langkah Nafuzi tinggalkan Kedah, ura-ura kembali ke skuad Sang Badak

467885411_605471981833983_5897587036518857401_n

Keputusan Nafuzi meninggalkan Kedah menceritakan segala-galanya. Facebook/KDA FC

Kapten pasukan, Sony Norde dan bek tengah, Irfan Zakaria difahamkan menjadi antara yang terawal mengambil langkah demikian dengan destinasi masing-masing belum diputuskan setakat ini.

Meskipun perkara tersebut masih belum disahkan, isu kewangan yang sepertinya tidak berpenghujung bakal menyaksikan kedua-dua bintang itu mengambil langkah demikian.

Malah, sekiranya tiada usaha daripada pihak pengurusan untuk menyelesaikan kemelut dialami, tidak mustahil sekiranya beberapa tonggak skuad Sang Kenari mengambil langkah berkenaan.

Berdasarkan barisan pemain Kedah musim ini, terdapat tiga pemain yang berkemungkinan meninggalkan pasukan terbabit seperti mana bakal dilakukan Sony dan Nafuzi.

1. Sukhrob Nurulloev

Tidak boleh dinafikan bahawa pemain sayap KDA FC, Sukhrob Nurulloev merupakan antara bintang paling bersinar meskipun catatan jaringannya tidaklah begitu baik.

Kelincahannya meninggalkan pihak lawan dan kepintarannya membaca permainan menjadikannya aset utama pasukan bagi mencipta peluang dengan usianya yang baru sahaja mencecah 26 tahun menaikkan lagi namanya.

Jadi, tidak hairanlah apabila beberapa kelab Liga Super mula mengikuti perkembangan penyerang sayap itu bersama skuad Sang Kenari dengan harapan mereka dapat menyambar khidmatnya selepas kontrak berakhir.

468060349_605471931833988_8601010929215827225_n

Sukhrob merupakan salah seorang import paling bernilai buat skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Pasukan seperti Terengganu FC dan Selangor FC sudah tentu berminat akan kebolehannya beraksi di posisi itu dengan struktur kewangan kelab membolehkan perpindahan itu dimeterai.

Selain itu, Sukhrob sudah tentu terbuka untuk pulang ke Uzbekistan memandangkan dia masih mempunyai nilai di negara tersebut memandangkan dia pernah mewakili lima kelab di sana.

Bagaimanapun, dengan semangatnya masih terserlah setiap kali beraksi, terdapat kemungkinan pemain berkenaan akan kekal sehingga penghujung musim sebelum memikirkan destinasi seterusnya.

2. Syafiq Ahmad

Hubungan pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad dan KDA FC sememangnya cukup akrab kerana ini merupakan kali kedua penyerang tersebut pulang ke pangkuan pasukan berkenaan secara pinjaman.

Dia yang kerap disisihkan di Johor Darul Ta'zim (JDT) amat berminat setiap kali ditawarkan peluang sedemikian memandangkan skuad Sang Kenari banyak membantu membentuk kariernya.

Namun, situasi kewangan menghantui kelab Utara tersebut pasti akan menyebabkan Syafiq terus keberatan untuk kekal meskipun gajinya difahamkan masih berada di bawah pengurusan majikan sebenarnya.

465572870_591892053191976_4792062021525421671_n (1)

Syafiq (kiri) jelas masih menyayangi skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Ini dapat disaksikan apabila ketika aksi pembukaan Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, pemain itu tidak berada di bangku simpanan dengan penyokong berasakan itu adalah langkah protes daripadanya.

Syafiq pasti akan mengambil keputusan meninggalkan Kedah sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dengan kepulangan ke skuad Harimau Selatan adalah pilihan terbaik baginya.

Tetapi, sekiranya peledak berkenaan masih mahu keluar secara pinjaman, dia pasti enggan menyertai skuad Sang Kenari kerana tidak mahu lagi merasai sikap culas pihak pengurusan.

3. Cleylton Santos

Seorang lagi import bersinar buat skuad Sang Kenari musim ini ialah bek tengah kelahiran Brazil, Cleylton Santos yang mempunyai deria tajam di hadapan pintu gol.

Pemain berusia 31 tahun itu disambar selepas melihat pengalamannya beraksi buat beberapa kelab di negara kelahirannya diharapkan dapat mengukuhkan barisan pertahanan pasukan.

464962704_589322193448962_140346618492975134_n

Cleylton mempunyai kebolehan menjaringkan gol meskipun beraksi sebagai pemain pertahanan. Facebook/KDA FC

Kepercayaan itu dibalas dengan baik kerana dia beberapa kali menjadi wira Sang kenari dengan empat gol dan satu bantuan jaringan berjaya direkodkan dalam 13 penampilan Liga Super.

Catatan tersebut menjadikannya sasaran buat mana-mana kelab tanah air yang mahu mengukuhkan benteng mereka di samping mengharapkan pulangan jaringan daripada pemain pertahanan.

Perak FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC mahupun Kuching City FC merupakan sebahagian pasukan dianggap sesuai untuk menyambar khidmat Cleylton sekiranya dia mendesak untuk meninggalkan pasukannya dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram