Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
IFEDAYO Olusegun melakukannya lagi. Pada saat pasukan lawan terlepas pandang kepadanya, detik-detik pada penghujung perlawanan dimanfaatkannya untuk mengingatkan ramai terhadap kehadirannya dengan cara yang hanya yang akan disesali mereka kemudian.
Bergelar King Dayo, penjaring terbanyak Liga Super musim 2020 dan 2021 itu tidak hanya meletakkan PDRM FC di ambang gerbang suku akhir Piala Malaysia, malah mungkin membuat seorang ketua jurulatih pasukan lawan menghitung hari-hari terakhirnya di kerusi panas berkenaan.
Pada usia 33 tahun kini dan harus tidak sepantas ketika mula-mula menjaja kemahirannya dalam Liga Malaysia bersama Felda United pada 2017 – ini musim kelapan berturut-turutnya bersama lima pasukan berbeza – sentuhan penyudahnya tidak pernah lekang.
BACA LAGI: Nasib malang KDA FC tak berpenghujung jadi ingatan buat semua pasukan
BACA LAGI: Penantian, kesabaran Fandi pada Agapov berbalas dengan tiga mata penting
Mungkin kurangnya tumpuan terhadapnya kini adalah keadaan paling dinikmatinya untuk dia tampil pada saat-saat getir selaku ‘pembunuh senyap’ yang dibuktikan oleh enam golnya untuk The Cops musim ini.
Perak FC lebih dahulu meratapi ketajaman Ifedayo dalam aksi liga di Stadium Perak, 18 Mei lalu. Selepas penyerang itu mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-24, dia meledak lagi pada minit ke-90+12 untuk The Cops pulang dengan kemenangan 3-2.
Ifedayo menjadi igauan pihak lawan.
Ketua jurulatih The Bos Gaurus (TBG), Yusri Che Lah, ketika itu hanya dapat menyalahkan kealpaan pemain-pemainnya sendiri yang seperti ternanti-nanti wisel penamat untuk menyelamatkan satu mata tetapi King Dayo ternyata mempunyai perancangan berbeza.
Kemudian pada 21 September, Ifedayo – pemain kelahiran Nigeria yang memiliki kerakyatan Bahrain – memilih detik-detik menghampiri penghujung permainan untuk melepasi deretan kaki pemain pelawat sebelum meledakkan rembatan kaki kirinya pada minit ke-80 untuk menghantar Sabah FC pulang dengan kekalahan 0-1.
Malangnya, pasukan lawan seakan-akan tidak belajar daripada kesilapan Perak FC dan Sabah FC dengan meninggalkan ruang-ruang untuk dieksploitasi Ifedayo pada minit-minit akhir.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad, King Dayo menjadi pencipta dan pemusnah – sungkitannya disudahkan tandukan Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk The Cops bangkit mengikat kedudukan 1-1 terhadap gol pendahuluan A. Selvan (m-60) dalam perlawanan peringkat pertama pusingan 16 Piala Malaysia.
Ketika layar gergasi di stadium memaparkan minit ke-90+9, Ifedayo menempatkan diri betul-betul di depan pintu gol untuk menguis masuk satu lorongan daripada Bruno Suzuki untuk PDRM FC berkelebihan agregat 2-1 apabila kedua-dua pasukan berhadapan semula dalam aksi timbal balik di Stadium Selayang, Jumaat ini.
Ifedayo menjadi wira PDRM ketika mengalahkan Negeri Sembilan.
"Memang kecewa dengan keputusan malam ini kerana sepatutnya kita boleh menang 3-0 tapi pemain telah mensia-siakan peluang.
“Pemain saya hilang fokus dan melakukan kesilapan mudah yang mendorong PDRM mengambil kesempatan untuk menjaringkan dua gol,” kata ketua jurulatih skuad Rusa, K. Nanthakumar, selepas perlawanan.
"Kita masih ada 90 minit lagi untuk perlawanan di Selayang dan kita akan berusaha memperbaiki persembahan bagi mendapatkan kemenangan di sana nanti," tambahnya sambil laman sosial pasukan dihujani komen penyokong yang mahukannya berundur tanpa berlengah.
“Terbaiklah coach, tak pernah belajar dari kesilapan, teruskan kekalahan pasukan,” kata Muhammad Jazlan di laman Facebook.
Sesetengah penyokong turut mencadangkan agar bekas ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, dibawa sebagai pengganti untuk memperbaiki kedudukan dalam liga – NSFC kini di tangga terbawah dengan hanya enam mata daripada 13 perlawanan – ketika masih berbaki 11 perlawanan lagi hingga akhir April depan.
Sejak mengambil alih daripada Azzmi Aziz yang direhatkan bermula dengan perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 17 Ogos lalu, Nanthakumar belum lagi meraih kemenangan dalam enam perlawanan liga berturut-turut – tiga daripadanya kekalahan – di sebalik membawa masuk Sebastian Avanzini dan Ricardo Peres ketika jendela perpindahan kedua lalu.
Selepas seri 2-2 dengan KDA FC, skuad Rusa itu tewas 0-1 kepada Perak FC, seri 2-2 dengan Penang FC, tewas 2-3 kepada Kelantan Darul Naim (KDN) FC, seri 1-1 dengan Kuching City FC, dan tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selepas kekalahan terbaru kepada PDRM FC, Nanthakumar mengakui belum berpuas hati sepenuhnya dengan sumbangan pemain import pasukannya.
Menjadikannya alasan tambahan, kedudukannya yang mengambil alih tugas ketika separuh perjalanan liga musim ini, didakwa menyukarkannya untuk membuat perubahan drastik terhadap pasukan.
"Saya terpaksa menggunakan apa yang ada (pemain) untuk membina kekuatan pasukan. Setakat ini sumbangan pemain import belum mencapai apa yang kita perlukan tapi saya akan terus berusaha meningkatkan prestasi," katanya.
Nanthakumar perlu terus berharap agar pasukannya mampu menterbalikkan kedudukan di Stadium Selayang, Jumaat ini atau peranannya mungkin berubah atau ditiadakan sesudah itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram