Nasib malang KDA FC tak berpenghujung jadi ingatan buat semua pasukan


Oleh M.AZIM
  • Podium
  • Isnin, 25 Nov 2024

Nafuzi meletakkan jawatan sebagai pengendali Kedah pada Ahad. — Facebook/KDAFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

WANG tidak menjanjikan semua boleh jadi tapi lebih buruk lagi apabila tiada wang, apa saja yang dirancang tidak akan menjadi.

Berdoalah agar tiada pasukan dalam Liga Malaysia yang nasibnya sama malang seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC yang bukan sekadar boleh diumpamakan dengan ‘sudah basah kehujanan pula’, malah ‘sudah kering terjemur pula, sudah garing kena ramas pula’.

BACA LAGI: Tunggu dan lihat’, Kim Swee masih berteka-teki namun spekulasi kembali ke FAM semakin nyata

BACA LAGI: Hanya seri di Temerloh, kesungguhan Selangor, Sri Pahang beraksi 'dalam bendang' pula jadi perhatian

Terbaru, peletakan jawatan ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, pada Ahad sekadar melanjutkan lagi ‘derita’ skuad Kenari itu yang tiada siapa tahu bagaimana kesudahan nasibnya dalam Liga Malaysia musim 2024/2025 ini yang dijadualkan hingga April tahun depan.

“KDA FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti Nafuzi selama ini serta mendoakan sukses selalu dalam perjalanan karier beliau selepas ini,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin, dalam satu kenyataan yang turut menamakan Victor Andrag selaku ketua jurulatih interim.

Sebelum ini, KDA FC sudah pun kehilangan pemain tengah import, Habib Haroon, yang memilih untuk menyertai kelab Sitra di negara asalnya, Bahrain, dan ini disusuli penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, yang dipancing Selangor FC dan penjaga gol kedua, Fikri Che Soh, yang menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC. Kapten pasukan, Sony Norde, turut dilepaskan untuk menyarung jersi Malut United dalam Liga Indonesia.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan ramai lagi pemain mahu menuruti langkah serupa. Cuma, mereka tidak begitu bernasib baik kerana ketiadaan tawaran daripada majikan baharu di samping jendela perpindahan kedua Liga M dari 26 Ogos hingga 22 September 2024 sudah lama ditutup.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 19.59.45

Victor Andrag (kanan) dilantik sebagai ketua jurulatih interim. — Facebook/KDAFC

Masih ada lima bulan saingan untuk diharungi – satu jangka masa cukup panjang buat sebuah pasukan yang terhutang gaji pemain-pemain dan jurulatih sebanyak tempoh itu juga – tanpa ada sebarang petanda jelas bagaimana masalah kewangan yang membelenggu pasukan akan dapat diatasi.

Apakah KDA FC mampu bertahan hingga akhir musim? Mungkin tiada siapa punya jawapannya pada waktu ini.

Jika disorot, masalah kewangan Kedah FC bukan pun perkara baharu, malah telah berlarutan dari musim lalu lagi.

Menuju penghujung musim 2023, KDA FC yang sedang bersaing untuk kedudukan naib juara liga -- yang memberikan slot untuk bersaing di peringkat Asia -- kesudahannya sekadar menduduki tangga keempat setelah tewas dua perlawanan terakhir kepada Selangor FC dan Sabah FC, yang masing-masing melonjak ke tangga kedua dan ketiga.

Masalah gaji yang tidak terbayar membuat pemain-pemain skuad Kenari ketika itu seakan-akan tawar hati untuk berjuang habis-habisan pada ketika ramai antara mereka — pemain import tidak terkecuali — lebih tertumpu untuk mencari majikan baharu.

Bagi musim 2024/25 ini pula, Kedah FC hanya mendapat lesen pada saat-saat akhir apabila ia memaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) April lalu bahawa ia sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi musim lalu.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 19.59.44

Sebahagian pemain Kedah yang masih setia beraksi bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Dalam pada itu, KDA FC tetap dikenakan pemotongan tiga mata bagi liga musim ini dan denda RM50,000 kerana gagal menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada atau sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.

Bukanlah rahsia bahawa Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang Menteri Besar, Sanusi Md Nor, adalah presidennya, turut menghulurkan sebanyak RM2 juta bagi membantu KDA FC – diswastakan pada Ogos 2022 -- untuk keperluan dapatkan lesen daripada MFL.

“Tahun ini pun, walaupun Kedah FC telah diswastakan, kita bagi sumbangan melalui KFA, bayar untuk keperluan dapatkan lesen, tahun ini sahaja RM2 juta, jangan kata MB (menteri besar) buat tak tahu,” katanya.

Kemudian, pada 19 Mei lalu, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar, membuat kejutan apabila mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan masalah kewangan meruncing dan hanya mampu bertahan sebulan atau dua saja lagi kerana ketiadaan penaja utama.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 19.59.43 (1)

Pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar. — Facebook/KDAFC

Penarikan diri penaja sebelumnya dan kurangnya sokongan pelbagai pihak – termasuk syarikat-syarikat besar yang semakin tawar hati untuk menghulurkan tajaan kerana tiada jaminan terhadap pulangan menguntungkan -- dikatakan antara punca pasukan itu tidak mempunyai kewangan kukuh.

“Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar untuk KDA FC meneruskan perjuangan dalam Liga Super. Kewangan yang ada sekarang boleh bertahan satu atau dua bulan sahaja,” kata Mohd Daud ketika itu.

Agak malang buat KDA FC kerana siri rundingannya dengan beberapa pihak swasta yang berpotensi menjadi penaja utama menemui jalan buntu, termasuk cadangan pembelian saham KDA FC oleh sebuah syarikat baru-baru ini yang terhenti di pertengahan jalan.

Masalah tunggakan gaji tidak hanya terbatas kepada KDA FC yang boleh dipersalahkan kepada kelemahan pengurusan jika ia satu-satunya pasukan dalam Liga M yang dibebani masalah kewangan.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 19.59.43

DSAT Group antara yang pernah menunjukkan minat untuk menjadi penaja Kedah.

Mungkin berlaku salah perkiraan atau congakan di pihak pengurusan kelab sambil unjuran yang dibuat dalam menagih dana pula tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.

Sebaliknya, apa yang berbeza ialah sesetengah pasukan lebih bertuah kerana mendapat suntikan dana daripada kerajaan negeri atau agensi bawahnya tetapi dalam era profesional dengan kelab-kelab perlu berdikari kerana tidak lagi bertanding atas nama pasukan negeri, bantuan diharapkan juga makin berkurangan.

Namun, siapa tahu akan ada usaha menyelamat yang bakal menyusul dalam waktu terdekat ini tetapi sehingga itu berlaku, pasukan-pasukan lain mungkin boleh mengambil pengajaran daripada ‘derita’ KDA FC ini untuk mengelak terjebak dalam kemelut serupa pada musim-musim mendatang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram