KEDAH Darul Aman FC mengesahkan bahawa pihak pengurusan kelab itu telah menerima permohonan perletakkan jawatan Ketua Jurulatih, Mohd Nafuzi Muhammad Zain pada Ahad.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, permohonan itu telah diperhalusi oleh pemilik, ahli lembaga pengarah serta pengurusan kelab terbabit.
Beliau berkata, permohonan peletakan jawatan oleh pengendali kelahiran Kelantan itu diterima dengan rasa berat hati namun penuh rasa hormat.
BACA LAGI: Bolos 2 biji pada masa kecederaan, ramai anggap coach NSFC tak buat 'homework' gari Ifedayo
BACA LAGI: ‘Tunggu dan lihat’, Kim Swee masih berteka-teki namun spekulasi kembali ke FAM semakin nyata
“Sejak bersama pasukan pada Disember 2022 hingga sekarang, Nafuzi telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi dan komited serta jitu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Shahrul berkata, kejayaan meraih tempat keempat Liga Super 2023 pada tahun pertama Nafuzi bersama-sama pasukan serta peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024 adalah pencapaian terbaiknya semasa bersama pasukan hijau kuning.
“KDA FC ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti Nafuzi selama ini serta mendoakan Nafuzi sukses selalu dalam perjalanan karier beliau selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan Kedah Darul Aman FC juga mengumumkan bahawa Victor Andrag dilantik menjadi Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula 25 November 2024.
“Pihak pengurusan akan menilai serta membuat keputusan dari masa ke masa mengenai calon Ketua Jurulatih pasukan yang tetap berikutnya mengikut keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki kancah Liga Malaysia 2024/2025,” katanya lagi.
Baru-baru ini, timbul desas-desus mengatakan bahawa Nafuzi bakal menggalas tugas sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Untuk rekod, Nafuzi mula membimbing Kedah pada 2023 setelah meninggalkan Terengganu FC, selepas tiga musim bergelar ketua jurulatih pasukan dari Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram