Dulu Kedah 'gudang' bola sepak, sokongan tak putus tapi kini sudah berbeza — Wan Jamak


  • Podium
  • Selasa, 26 Nov 2024

Situasi semasa skuad Sang Kenari amat mendukacitakan kira-kira dua musim kebelakangan ini. — Facebook/KDA FC

ISU kewangan melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC menemui kemuncaknya apabila lambakan pemain dan kakitangan kelab mula meninggalkan pasukan selepas tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.

Tindakan itu dimulakan dengan pengunduran ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang meninggalkan skuad Sang Kenari dengan destinasinya selepas ini masih belum diketahui.

Situasi sedemikian seperti akan berlaku dalam masa terdekat apabila dua tonggak pasukan, Sony Norde dan Irfan Zakaria dikhabarkan bakal mencari majikan baharu selepas muak dengan sikap pihak pengurusan.

BACA LAGI: Tak jadi masalah aksi Liga Super, Piala Sumbangsih diadakan serentak — Wan Jamak

BACA LAGI: MB Sanusi mungkin akan tolong Kedah, tapi mereka perlu sedar diri — Wan Jamak

Perkara itu sudah tentu membuatkan penyokong Hijau Kuning kecewa dengan masa depan Kedah yang pernah menjadi gergasi bola sepak tanah air lebih kurang 10 tahun lalu.

Ia turut dirasai bekas pengendali pasukan, Wan Jamak Wan Hassan yang melihat kelab Utara tanah air itu dahulunya sering melahirkan bintang bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain.

"Saya memang sedih kerana Kedah sebelum ini gudang yang mengeluarkan pemain muda berbakat. Tetapi, sejak kebelakangan ini, pembangunan di Kedah tidak dapat disaksikan walaupun ia sebenarnya ada.

"Mungkin dengan ramai yang akan meninggalkan pasukan ini, ia akan membawa kesukaran bagi mereka bangkit semula kerana dahulunya kita tahu, sesiapa yang pergi akan ada pengganti," katanya kepada Majoriti.

120730-wanJamak

Wan Jamak melihat Kedah sering melahirkan pemain berbakat satu ketika dahulu.

Berdasarkan pemerhatian, skuad Sang Kenari pernah menggilap bakat 'ubi muda', seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad yang masing-masing kemudiannya beraksi dalam skuad kebangsaan.

Namun, melihat kepada pasukan itu ketika ini, tiada pelapis yang sudah mencapai tahap memuaskan dan sesuai untuk diserap ke dalam pasukan utama sekiranya tonggak KDA FC meninggalkan kelab terbabit.

Sekiranya tiada pemain muda yang dinaikkan pangkat, terdapat kemungkinan kelab terbabit akan tenggelam dalam bayang-bayang sendiri meskipun pernah berada di kemuncak bermusim-musim lalu.

Ketika ditanya mengenai kesan situasi kelab terhadap kehadiran penyokong, Wan Jamak berkata, aura mereka akan dipengaruhi keadaan semasa pasukan di atas padang.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 4.14.15 PM

Sokongan terhadap skuad Sang Kenari tidak pernah pudar.

"Jika diikutkan, semangat mereka akan naik turun mengikut prestasi pasukan. Tetapi, jika kita lihat kebelakangan ini, penyokong tidak ada lagi jiwa kesetiaan dari segi kenegerian.

"Apabila kita melihat kepada hari ini, ia sudah berubah mungkin disebabkan peredaran zaman. Minat penyokong juga akan terikut dengan prestasi pasukan," katanya lagi.

Wan Jamak sebelum ini pernah mengendalikan skuad Sang Kenari pada musim 2011 dengan dia berjaya membawa kelab tersebut ke kedudukan keempat Liga Super, namun bergelut dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Dia kemudiannya meninggalkan pasukan berkenaan dan digantikan pengendali dari Croatia, Marijo Tot pada musim berikutnya dengan keputusan itu menyaksikan Kedah tergelincir ke Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram