KEPUTUSAN Nafuzi Zain mengundur diri daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC menimbulkan perasaan bercampur-baur dalam kalangan penyokong dengan ada yang mudah menerima pilihannya itu, malah ada juga yang tidak.
Ini kerana mereka berasakan sentuhan pengendali muda itu membuahkan hasil memuaskan meskipun skuad Sang Kenari dilanda masalah kewangan yang kronik sejak tahun lalu.
Cuma pada masa sama, ada pula segelintir berasakan keputusannya tersebut tidak boleh diterima kerana tindakannya itu diibaratkan nakhoda meninggalkan kapal yang sedang ditenggelami air.
BACA LAGI: Tak lekang jadi sasaran kecaman, fans tetap puji usaha Abd Rasid Jusoh bangunkan TFC
BACA LAGI: Pindaan jadual Liga Super 'membunuh' TFC — Ab Rasid
Nafuzi memilih untuk menyertai skuad Sang Kenari selepas meninggalkan Terengganu FC. — Facebook/KDA FC
Mereka yang kini berada di kedudukan ke-10 Liga Super memerlukan khidmatnya sehingga sekurang-kurangnya penghujung musim bagi menghidupkan peluang untuk memberikan saingan dari perlawanan ke perlawanan.
Bagaimanapun, dengan surat perletakan jawatan sudah diberikan, masing-masing hanya boleh menelan realiti bahawa Nafuzi Zain kini tidak lagi bergelar pengendali skuad Sang Kenari.
Tetapi, ini bukanlah kali pertama jurulatih berusia 46 tahun tersebut berbuat demikian kerana dua tahun lalu, dia juga mengambil langkah drastik dengan meninggalkan Terengganu FC.
Ketika itu, skuad Sang Penyu berada dalam landasan tepat untuk menjadi pasukan digeruni apabila beraksi secara konsisten dalam Liga Super selain mara ke pentas akhir Piala FA.
Nafuzi merupakan figura popular dalam kalangan penyokong Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Sentuhannya amat dihargai penyokong kelab Pantai Timur berkenaan yang berasakan pengendali itu membawa perubahan besar terhadap prestasi pasukan yang sebelum itu tidak begitu digeruni.
Namun, Nafuzi masih mengambil tindakan meninggalkan skuad Sang Penyu berikutan konflik antaranya dengan pihak pengurusan sehingga perkara tersebut heboh di media sosial.
Antara momen sukar dilupakan adalah apabila pengendali kelahiran Kelantan itu menyatakan dia hanya menerima tawaran lanjutan kontrak daripada 'kitman' yang dijadikan orang tengah.
Tindakan sedemikian membuatkan Nafuzi berasa kurang dihargai meskipun sudah membawa nafas baharu buat Terengganu FC, baik dari segi persembahan di atas padang mahupun di luar.
Tomislav (kiri) menggantikan Nafuzi sebagai pengendali skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Akhirnya, setelah saga antaranya dengan pihak pengurusan berlanjutan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Abd Rasid Jusoh mengumumkan kedua-dua pihak akan mengambil haluan masing-masing pada penghujung musim.
Situasi itu kemudian menyaksikan Nafuzi memilih untuk mengendalikan KDA FC sementara skuad Sang Penyu melantik Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih.
Keputusan terbabit pada awalnya membawa impak positif kepada kedua-dua pihak, namun hal berbeza dapat disaksikan hari ini dengan mereka berdua tidak lagi bergelar pengendali buat kelab masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram