Salah sudah beri 'hint' mahu kekal, Liverpool boleh kempunan jika lambat


  • Podium
  • Rabu, 27 Nov 2024

Liverpool perlu pantas tetapi bijak dalam menawarkan kontrak baharu buat Salah.

LIVERPOOL ketika ini sedang menikmati waktu yang indah apabila sedang mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan lapan mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City.

Kecemerlangan skuad Arne Slot itu diterajui oleh pemain sayap utama mereka iaitu Mohamed Salah. Terbaharu, pemain antarabangsa Mesir itu menghasilkan persembahan berkualiti untuk membantu Liverpool mengalahkan Southampton 3-2 di tempat lawan.

Selepas kemenangan itu, Salah secara terbuka menyatakan kemahuan untuk kekal di Liverpool. Tapi, kenapa Liverpool kelihatan terlalu perlahan dalam mengikat pemain itu dengan kontrak baharu?

BACA LAGI: Lepas cuba hasut TAA, fans khuatir Bellingham kini 'cucuk' prospek Liverpool pula ke Real Madrid

BACA LAGI: Sama macam trio JDT, Van Dijk juga pulang awal lepas dipanggil Liverpool

Wajar tawar kontrak baharu

Melihat kepada kualiti dan persembahan secara konsisten ditampilkan oleh Salah sejak menyertai Liverpool, begitu sukar untuk kelab itu tidak menawarkan sebarang kontrak baharu buat pemain itu.

Menjadi pemain utama dan kegemaran penyokong, agar sukar untuk Liverpool untuk tidak menawarkan kontrak kepadanya. Hal ini kerana, Salah dilihat tidak melakukan sebarang kesilapan dalam permainannya.

468074115_1143061243855372_1775438088697387970_n

Salah merupakan wira Liverpool ketika menewaskan Southampton.

Kesilapan yang dimaksudkan adalah dia tidak mengalami kecederaan atau bergelut dengan prestasinya. Sebaliknya, Salah terus menjalankan tugasnya dengan baik iaitu menjaringkan gol hampir setiap minggu.

Musim ini, Salah bukanlah pemain yang sering terlibat secara langsung dalam pergerakan permainan Liverpool, tapi dia lebih kepada man of the moment. Bila sampai detiknya, Salah yang kelihatan 'hilang' di padang akan muncul dengan jaringan.

Oleh itu, pengurusan Liverpool wajar menawarkan kontrak baharu kepada Salah. Namun mereka perlu berhati-hati ketika menawarkannya kerana ia mungkin akan menganggu keharmonian skuad sedia ada.

Salah merupakan sebahagian daripada penerima gaji tertinggi di Liverpool, jika kelab terus membesarkan jurang bayaran pemain itu dengan ahli skuad lain, keharmonian The Reds boleh berada dalam ancaman.

Namun tak mudah

Secara kasarnya, ia kelihatan mudah untuk Liverpool untuk menawarkan kontrak baharu kepada Salah disebabkan prestasi semasanya.

Namun begitu, ia tidaklah semudah disangka. Hal ini disebabkan faktor gaji yang dinyatakan sebelum ini. Selain itu, terdapat juga situasi lain yang menyukarkan Liverpool dalam menawarkan kontrak baharu untuk Salah.

f904ef60-44ab-11ed-afd6-b575b46f0928

Situasi Salah turut menjadi perhatian kem Alexander-Arnold (kiri) dan Van Dijk (kanan).

Dengan pemain bintang lain seperti Virgil van Dijk serta Trent Alexander-Arnold turut tamat kontrak serentak seperti Salah, ejen-ejen mereka pastinya memerhatikan situasi pemain itu.

Jika kelab menawarkan kontrak dengan terma-terma tertentu kepada Salah, pastinya pihak Van Dijk dan Alexander-Arnold mahukan perkara serupa.

Liverpool pastinya sudah menawarkan kontrak kepada Salah namun belum berjaya mencapai kata putus. Waktu semakin suntuk, Liverpool perlu bijak dalam memberikan tawaran walaupun masa mencemburui mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram