'Lambang tu mahai', jersi baharu Kedah dapat restu Kepak Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Kedah melancarkan jersi ketiga mereka pada pertengahan musim.

WALAUPUN liga sudah memasuki pertengahan musim, tetapi ia tidak menghalang Kedah Darul Aman FC daripada terus melancarkan jersi baharu mereka.

Dilancarkan pada Jumaat, Kedah memperkenal jersi ketiga mereka bagi musim 2024/2025 dengan menjadikan putih sebagai warna asas jersi tersebut.

Jersi keluaran ALX itu mengenakan corak rekaan yang unik dengan menjadikan warna hijau dan merah untuk 'menghidupkan' uniform Sang Kenari itu.

BACA LAGI: Bukan saja fans, inisiatif 'ladies night' pikat hati TD Kedah demi kebahagiaan famili tercinta

BACA LAGI: Lupakan Kedah, DSAT Group boleh mula dari bawah dengan miliki KL Rovers

Apa yang menarik mengenai jersi baharu itu, Kedah menggunakan lambang burung kenari sebagai logo. Ia menggantikan logo kelab Kedah itu sendiri yang digunakan pada dua jersi mereka yang lain.

Ia kelihatan minimalis dan menyerupai pendekatan digunakan oleh beberapa kelab utama dunia seperti Liverpool dan Arsenal pada jersi mereka. Sebagai contoh, Liverpool menggunakan lambang liverbird manakala Arsenal meletakkan logo meriam.

Pendekatan diambil Kedah itu menerima 'restu' daripada penyokong Kedah yang menganggap ia sebagai segar. Bagi mereka, ia memberikan dimensi baharu kepada koleksi jersi Kedah.

Ramai yang memuji logo burung kenari itu dan itu boleh membuatkan Kedah akan terus memakai lambang tersebut dalam keluaran jersi mereka yang akan datang.

"Lambang kenari tu mahai (mahal)," kata penyokong bernama Asyraf Khir.

"Lawa macam jersi Norwich City ada logo burung. Smart gila!," komen Hafiz Aizud Yusof pula.

"Lawa yang ini sebab ada gambar burung kenari," ujar Rosmidi Rosly.

Kedah dijangka akan menggunakan jersi tersebut buat kali pertama apabila turun menentang Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala Malaysia pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram