PENYOKONG Liverpool tak senang duduk selepas bek pertahanan mereka, Trent Alexander-Arnold dilapor menolak satu lagi tawaran kontrak baru dari kelabnya menjelang jendela perpindahan Januari ini.
Difahamkan, pemain berusia 26 tahun berkenaan boleh menandatangani perjanjian prakontrak dengan kelab lain mulai 1 Januari nanti dan berpotensi menyaksikan pemergiannya dari Liverpool secara percuma meninggalkan Anfield.
Bagaimanapun, The Reds difahamkan masih berusaha keras untuk mengekalkan pemain akademi mereka itu walaupun menyedari menerima saingan sengit daripada pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid.
BACA LAGI: Sama macam trio JDT, Van Dijk juga pulang awal lepas dipanggil Liverpool
BACA LAGI: Meskipun kerap disisihkan, bintang Liverpool jadi watak penting England jinakkan Greece
Sejak beberapa bulan lepas, nama Alexander-Arnold dikaitkan dengan pasukan La Liga itu lagi-lagi selepas sahabat baiknya iaitu Jude Bellingham bergelar pemain Real Madrid pada Jun 2023.
Bellingham dikatakan menjadi watak penting dalam mempengaruhi keputusan pemain antarabangsa England tersebut sekiranya ingin menandatangani kontrak dengan Real Madrid pada suatu hari nanti.
Peranan Bellingham tidak berhenti pada Alexander-Arnold sahaja apabila prospek Liverpool iaitu Curtis Jones dilihat turut mempunyai hubungan baik dengan tonggak Real Madrid berkenaan.
Tangkap layar komen dari penyokong The Reds.
Penyokong mula bimbang sekiranya Bellingham akan turut memujuk Jones beraksi di La Liga selepas pemain tengah itu berada pada prestasi terbaiknya dalam membantu Liverpool dan England pada aksi menentang Greece dan Ireland baru-baru ini.
Kebimbangan penyokong The Reds bermula apabila Bellingham meninggalkan komen emoji cinta pada Instagram Jones dan menyaksikan 'pemain ke-12' The Reds mula membalasnya dengan ayat-ayat berbentuk usikan kepada tonggak itu.
Untuk rekod, Jones tampil gemilang dalam debutnya bersama pasukan kebangsaan England dengan menjaringkan gol sulung. Prestasi ini menunjukkan potensi Jones sebagai bintang masa depan dan aset penting bagi Liverpool. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram