TINDAKAN pemain Liverpool, Mohamed Salah yang secara terbuka menyuarakan mengenai situasi kontraknya yang hampir tamat di kelab itu mengundang kemarahan legenda The Reds.
Salah secara terbuka menyatakan keinginannya untuk kekal di Liverpool tetapi mendedahkan dia masih belum menerima sebarang tawaran lanjutan kontrak daripada The Reds.
Sebagai rekod, kontrak Salah akan berakhir pada akhir musim 2024/2025 seperti dua bintang Liverpool iaitu Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold.
BACA LAGI: Salah mungkin pergi, Liverpool sasar bintang Brentford sebagai pengganti
BACA LAGI: Antony hampir ganti Mo Salah
Bagi legenda Liverpool, Jamie Carragher, dia jelas kecewa dengan komen Salah apabila bintang Mesir itu mengatakan kepada media yang dia berkemungkinan keluar dari kelab berbanding kekal di situ.
Hal ini kerana, komen dibuat oleh Salah itu adalah ketika Liverpool dalam minggu penting memandangkan mereka bertemu Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA pada pertengahan minggu dan Manchester City menerusi tugasan liga.
Carragher (kanan) jelas kecewa dengan komen Salah (kiri).
"Saya mesti katakan yang saya amat kecewa dengan Mohamed Salah. Liverpool perlu berdepan Real Madrid dan Manchester City pada hujung minggu. Itu adalah kisahnya sekarang.
"Jika dia terus memberikan komen, ejennya memberikan mesej secara tersirat mengatakan dia hanya pentingkan diri. Ia adalah perbuatan yang hanya fikirkan diri mereka dan bukan mengenai kelab," jelas Carragher.
Menurut laporan di England, urusan kontrak Salah masih lagi dalam proses perbincangan antara ejennya iaitu Ramy Abbas dengan Liverpool.
Perbincangan itu masih lagi berjalan lancar dan positif walaupun masih tiada tawaran rasmi dilakukan The Reds bagi pemain sayap tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram