SATU laporan mendedahkan penyerang Manchester United, Antony pernah dipertimbangkan bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebagai antara pengganti berpotensi kepada Mohamed Salah sebelum pemain kelahiran Mesir untuk membuat keputusan menyambung kontraknya dua tahun lalu.
Salah memasuki tahun terakhir kontraknya pada musim panas 2022 dan terdapat ketidakpastian yang ketara mengenai masa depannya selepas tempoh rundingan yang agak sukar sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk perjanjian kontrak baharu yang juga satu rekod baharu buat Liverpool.
Seperti didedahkan The Times, Klopp ketika itu semakin bimbang dengan prospek kehilangan Salah dua tahun lalu sehingga beliau mula mencari pengganti dan dikatakan memberi perhatian kepada Antony.
BACA LAGI: Amorim dapat lampu hijau jual bintang 'overrated' era Ten Hag
BACA LAGI: Dulu bersama KL City, kini bekas pembantu jurulatih sertai Ruben Amorim di Man United
Pada masa itu, Antony merupakan salah seorang pemain sayap muda yang paling menyerlah di dunia dan beraksi bersama kelab Belanda Ajax Amsterdam di bawah bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag.
Rundingan Manchester United untuk mendapatkan Antony turut memakan masa agak lama dengan Liverpool dilihat memiliki peluang bersaing merebut pemain berkenaan.
Bekas Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. — Agensi
Bagaimanapun, pengurusan di Anfield akhirnya tidak perlu membuat keputusan berkenaan apabila Salah memutuskan menandatangani kontrak baharu.
Antony juga kemudiannya mengesahkan perpindahan ke Manchester United pada musim panas itu dengan bayaran £82 juta (RM465 juta) - dengan pemain itu setakat ini menyumbang 12 gol dan lima bantuan jaringan dalam 87 perlawanan.
Sebagai perbandingan, Salah telah merekodkan 65 gol dan 40 bantuan jaringan sejak permulaan musim 2022/23.
Pada waktu ini, Antony dikaitkan dengan kemungkinan perpindahan keluar daripada Manchester United dengan pasukan tersebut turut menerima kehadiran jurulatih baharu, Ruben Amorim,
Salah pada masa sama sekali lagi berdepan dengan rundingan kontrak dengan beliau menghampiri enam bulan terakhir perjanjiannya sekarang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram