Penantian, kesabaran Fandi pada Agapov berbalas dengan tiga mata penting


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 22 Okt 2024

Kesabaran Fandi kepada Agapov memberikan hasil baik buat Sri Pahang.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

APABILA Mykola Agapov menjaringkan gol sulungnya untuk Sri Pahang FC dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA yang terikat 1-1 dengan Penang FC pada 14 Jun lalu, ketibaannya menjanjikan banyak harapan ketika itu.

Penyerang tengah kelahiran Ukraine berketinggian 1.84 meter itu dilihat sebagai jawapan kepada ketumpulan barisan depan skuad Tok Gajah – 10 golnya pada musim 2023 adalah daripada pemain pertahanan, Stefano Brundo -- yang menyaksikan mereka banyak mencicirkan mata.

Sejumlah 12 gol lagi pada musim berkenaan adalah sumbangan Kpah Sherman. Lantas, gandingan pemain Liberia itu dengan Agapov disandarkan untuk mencetuskan perubahan besar bagi musim 2024/2025 ini – sekurang-kurangnya itulah perancangan ketua jurulatih, Fandi Ahmad.

BACA LAGI: Lama sebelum bertemu Harimau Malaya, bek otai New Zealand pernah cuba nasib di Pahang

BACA LAGI: Jaga-jaga Kedah, 3 'on-form' bekas bintang mampu bantu Sri Pahang 'gigit' Sang Kenari

Namun, sambil Sherman sudah menghasilkan lima gol dalam liga, jaringan sudah kering buat Agapov sehinggalah gol tunggalnya untuk Sri Pahang FC menundukkan Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya pada Ahad mengembalikan namanya dalam senarai penjaring – secara kebetulan ketika berdepan lawan sama yang dia kali terakhir menyumbat gol.

Di dalam liga, Agapov mungkin penyerang import baharu musim ini yang paling lewat membuat jaringan – dia buntu dalam 10 perlawanan berturut-turut -- dibandingkan dengan penyerang ditandatangani pasukan-pasukan dalam jendela perpindahan kedua yang tidak memerlukan masa yang panjang untuk memberi impak.

464076798_566219602466694_2455199153403445865_n

Para pemain Sri Pahang meraikan jaringan Agapov ketika bertemu Penang.

Membuat perbandingan dengan penyerang seperti Sebastian Avanzini (Negeri Sembilan FC), Dylan Wenzel-Halls (Penang FC), Joao Pedro (Sabah FC) dan Ali Olwan (Selangor FC) yang menghasilkan gol dalam penampilan sulung masing-masing, maka Agapov dirasakan penyokong skuad Tok Gajah jauh tenggelam.

Tidak banyak diketahui mengenai penyerang berusia 30 tahun bernilai €350,000 (kira-kira RM1.4 juta) ini yang didatangkan dari kelab liga Kazakhstan, Akzhayik Uralsk, dengan perpindahan percuma pada 22 Feb lalu.

Tapi dengan Sri Pahang menggunakan hanya enam pemain import – Sherman, Brundo dan Ruziev Kuvondik dari musim lalu di samping Alexander Cvetkovic, Manuel Hidalgo dan Agapov dari permulaan musim ini – sumbangan setiap seorang daripada mereka amat ditagih, apatah lagi selepas Kuvondik kembali ke Uzbekistan untuk menyertai kelab Neftchi Fergana, 10 Julai lalu.

“Agapov seorang pemain yang sentiasa bekerja keras tapi ada kalanya dia mencuba terlalu bersungguh-sungguh hingga meletakkan terlalu banyak tekanan ke atas dirinya untuk menjaringkan gol.

“Saya selalu nasihatkannya supaya jangan terlalu mudah hilang bola apabila mendapatnya. Mainkan bola dengan mudah dan gunakan ruang-ruang yang ada.

“Saya beritahunya kalau pun dia tidak jaringkan gol, dia hendaklah berusaha menyumbang buat pasukan dengan membantu jaringan buat rakan,” cerita Fandi kepada Bola Pegun.

464068106_18466369951031124_1275600220881106044_n

Hasil kesabaran Fandi terhadap Agapov nyata memberi pulangan baik.

Malah, kedua-dua golnya setakat ini bukan dari gelecekan atau usaha solo menakjubkan – dia hanya perlu menyudahkan umpanan Hidalgo pada minit ke-80 permainan pada 14 Jun lalu dan sekali lagi mempunyai tugas mudah melakukan tap in terhadap hantaran lintang Sergio Aguero pada Ahad.

Fandi juga berkongsi bahawa penumpuan Agapov terganggu kerana merindui isteri serta anak sulung mereka di Ukraine.

“Dia tidak ada bersama ketika isterinya melahirkan dan hanya sempat menjengah mereka sekali (ketika liga berhenti rehat). Sejak itu, sudah lima bulan dia tidak pulang ke negara asal,” tambahnya.

Fandi turut memberi motivasi tambahan buat Agapov sebelum perlawanan dengan Penang FC, yang tiga mata sangat diharapkan untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam pusingan kedua liga yang baru bermula.

“Saya ingatkannya supaya kekal tenang apabila mendapat peluang. Saya beritahunya yang dia perlu jaringkan gol untuk anaknya dan juga pasukan. Saya kata ‘saya punya keyakinan terhadap anda dan anda juga perlu sentiasa yakin’.

“ALHAMDULILLAH Agapov dapat jaringkan gol dalam perlawanan itu dan harap-harap banyak lagi yang akan menyusul daripadanya,” katanya lagi.

Ia mungkin hanya satu gol mudah tetapi tidak ternilai dalam mengangkat Sri Pahang FC ke tangga kesembilan dalam carta liga dengan 14 mata selepas 12 perlawanan.

Sri Pahang seterusnya akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di mana Kelantan Darul Naim (KDN) FC menanti Jumaat ini.

Ketika itu, Agapov mungkin tidak lagi perlu ingatan atau dinasihati Fandi – bahawa jaringan akan terus ditagih daripadanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram