BERBAKI kurang daripada seminggu saja lagi, saingan Liga Super 2024 akan kembali membuka tirainya selepas berehat hampir dua minggu bagi memberi ruang kepada Kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Meskipun begitu, pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim sepertinya tidak mengenal erti 'rehat', malah sempat bermain dua perlawanan persahabatan bagi menguji wajah-wajah baharu yang baru direkrut.
Juara bertahan Liga Super itu berjaya menewaskan skuad kebangsaan Singapura 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Kallang Football Hub, Singapura pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Gagal dalam bola sepak, maruah Kelantan terletak di bahu sepak takraw — Pengurus

Skuad Harimau Selatan meraikan kemenangan selepas menewaskan pasukan kebangsaan Singapura. — Facebook/JDT
Tiga gol Harimau Selatan itu dijaringkan oleh Nazmi Faiz dan dua lagi gol menerusi Mohamadou Sumareh serta pemain import baharu dari Colombia, Jorge Leonardo Obregon.
Dalam aksi persahabatan sebelum ini, JDT mudah menewaskan kelab Thailand, Port FC 3-1 dengan penyerang baharu, Obregon meledak dua gol pada minit ke-57 dan ke-90 selepas gol pertama dijaringkan oleh pemain sayap, Oscar Arribas (ke-14).
Pada jendela perpindahan kedua musim ini, JDT membuat rombakan besar-besar dengan membawa masuk tujuh pemain baharu.
Selain Obregon, bek tengah Korea Selatan, Park Jun-heong, pemain sayap Perancis, Enzo Lombardo, pemain tengah Sepanyol, Iker Undabarrena, pemain tengah antarabangsa Azerbaijan, Eddy Israfilov, penjaga gol Sepanyol, Christian Abad dan Andoni Zubiaurre antara wajah baharu JDT.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio berkata, perlawanan persahabatan itu bertujuan untuk memberi minit permainan kepada pemain baharu dan mereka yang tidak kerap bermain semasa aksi domestik.
“Perlawanan persahabatan menentang Port FC dan skuad kebangsaan Singapura adalah baik. Mereka memberi kami platform untuk menguji rekrut baharu dan juga memberi minit permainan untuk mereka yang tidak kerap bermain dalam pasukan.
“Perlawanan persahabatan ini juga membolehkan pemain baharu itu bersatu dengan skuad dan membina persefahaman di atas padang," katanya.
Kehadiran Obregon ke skuad Harimau Selatan dilihat mampu menambah sengat di bahagian serangan meskipun kini JDT memiliki dua penyerang berbisa, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes.
Saingan Liga Super yang akan membuka tirainya pada Jumaat akan menyaksikan pendahulu liga, JDT bertemu Penang FC. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
