Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
KOMITMEN Sony Norde dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC hanya berbaki satu perlawanan dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 Disember dan seterusnya akan menjaja kemahirannya bersama kelab Malut United yang berpangkalan di Ternate, Maluku Utara, Indonesia bermula 5 Disember.
Secara tidak langsung juga, dua gol sumbangannya ketika mengetuai KDA FC menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-2 pada Jumaat, adalah penampilan terakhirnya di hadapan penyokong skuad Hijau Kuning itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kali pertama tampil dengan persalinan baharu daripada penaja – jersi putih dihiasi corak kotak pelbagai warna termasuk warna oren dan hijau yang disulami simbol burung kenari berwarna hijau – di samping kemasukan percuma ke stadium buat peminat wanita dan kanak-kanak, ia harus meninggalkan ingatan mendalam buat Norde.
BACA LAGI: ‘Tunggu dan lihat’, Kim Swee masih berteka-teki namun spekulasi kembali ke FAM semakin nyata
BACA LAGI: Hanya seri di Temerloh, kesungguhan Selangor, Sri Pahang beraksi 'dalam bendang' pula jadi perhatian
Kedah Darul Aman FC berjaya mengatasi Kuala Lumpur City FC 3-2 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia. — Facebook/KDAFC
Sayangnya tiada lambaian perpisahan daripadanya kepada penyokong dan tiada juga kesempatan buat mereka mengucapkan selamat jalan buat seorang pemain yang telah banyak berkorban dan menabur jasa kepada skuad bimbingan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, itu.
Dengan perpindahannya ke Indonesia sudah diketahui lebih awal, masih kurang jelas kenapa Norde – menyertai KDA FC selepas perpindahan daripada Terengganu FC dengan membuat penampilan sulungnya pada 11 Mei lalu – tidak diraikan dalam perlawanan terakhirnya di Stadium Darul Aman.
Atau barangkali situasi ketika itu tidak membenarkan, dengan KDA FC memiliki hanya 12 pemain – 11 dalam kesebelasan permulaan dan seorang simpanan – untuk mengharungi perlawanan berkenaan pada ketika pemain selebihnya memulaukan pasukan gara-gara tunggakan gaji yang berlarutan.
Tidak boleh juga hendak disalahkan mereka kerana apa yang membezakan ialah Norde – bekas pemain antarabangsa Haiti yang sudah banyak berkelana di sebelah Asia -- memilih untuk bersikap profesional dengan mendahulukan kepentingan pasukan di sebalik dia sendiri turut derita.
Sambil mendedahkan pemain selebihnya dalam pasukan membuat keputusan saat-saat akhir untuk tidak beraksi pada Jumaat, Norde berkata dia dan 11 rakan sepasukan setuju untuk bermain selepas perbincangan dan taklimat oleh Nafuzi pada sebelah petang hari perlawanan.
Sony Norde (tengah) muncul watak penting apabila membantu Sang Kenari menewaskan The City Boys. — Facebook/KDAFC
"Disebabkan masalah gaji, ada pemain ambil keputusan tidak mahu bermain. Tapi ada pemain sanggup bermain hanya kerana ketua jurulatih. Dia selalu berjuang untuk kami dan disebabkan itu 12 pemain bersetuju beraksi untuknya," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Mungkin juga tiada keraian buat Norde pada penghujung pertemuan dengan KL City FC itu kerana penyokong berasakan seperti Habib Haroon – lebih dahulu capai persetujuan untuk dilepaskan KDA FC pada penghujung Ogos lalu – kapten Sang Kenari itu meninggalkan pasukan dalam keadaan terkapai-kapai.
Keputusan pemain itu bermakna KDA FC terpaksa meneruskan perjuangan dengan dipacu hanya empat tenaga import – pemain pertahanan, Cleylton dos Santos dan tiga pemain barisan serangan, Sukhrob Nurullaev, Milos Gordic dan Ebenezer Assifuah.
Norde, bagaimanapun, siap sedia dengan alasannya bahawa ia adalah satu keputusan sukar yang terpaksa diambilnya kerana tiada pilihan lain pada waktu ini.
“Saya dan KDA FC ada persetujuan bersama. Setelah sekian lama kelab ini berdepan masalah kewangan yang teruk, saya terpaksa ambil keputusan ini demi keluarga.
“Selepas ini, saya akan bermain perlawanan terakhir untuk KDA FC dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia menentang KL City di tempat lawan 1 Disember.
“Itu pun kalau pemain KDA FC lain mahu terbang ke Kuala Lumpur untuk bermain. Jika masalah dalam pasukan ini gagal diselesaikan, saya tak fikir kita ada cukup pemain untuk bermain di sana nanti dan jika itu berlaku, ini mungkin menjadi perlawanan terakhir saya bersama Sang Kenari,” katanya.
Perlawanan bertemu Kuala Lumpur FC merupakan aksi terakhir Norde (kiri) bersama Sang Kenari. — Facebook/KDAFC
Tentunya Norde, 35, akan diingati atas perkongsiannya bahawa dia terpaksa berjalan kaki enam kilometer dari kediamannnya menuju ke pusat latihan pasukan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) dalam hujan pada 18 Sept lalu disebabkan kekangan kewangan.
"Anda boleh lihat sendiri saya datang ke padang latihan dengan berjalan kaki kerana kekurangan wang untuk mengisi petrol kereta dan saya akan pulang ke rumah juga dengan dengan cara yang sama walaupun dalam hujan.
"Semua sudah tahu isu tunggakan gaji ini begitu perit untuk saya lalui sejak berbulan-bulan lalu dan kini saya masih berkorban untuk kembali berlatih bagi meneruskan perjuangan pasukan dalam Liga Super menentang Sri Pahang FC (di Stadium Darul Aman pada 20 Sept),” katanya.
Pada penghujungnya, 12 penampilannya dalam Liga Super bersama KDA FC – dia hanya terlepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan pada 9 Ogos dan pertemuan dengan KL City FC di Cheras pada 14 Sept – ditinggalkannya sebagai bingkisan buat peminat.
Dua gol sumbangannya pada Jumaat – sepakan deras dari luar kotak penalti ke penjuru kanan pintu gol dikawal penjaga gol, Azri Ghani, pada minit ke-26 yang disusuli tiga minit kemudian dengan menyudahkan lorongan Assifuah – menjadi cendera hati perpisahannya buat penyokong di Darul Aman.
Apa yang barangkali tinggal ialah ucapan selamat maju jaya buatnya bersama pasukan Baharu di samping tanggungjawab KDA FC untuk melunaskan tunggakan gajinya kemudian.
Juga ini bukanlah kali terakhir kelibatnya dapat dilihat di Alor Setar.
"Saya akan ke Indonesia selama enam bulan manakala keluarga saya masih tinggal di Kedah kerana anak bersekolah di sini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram