[VIDEO] Keputusan TMJ 'loan' 3 import tepat, prestasi semasa jadi ukuran 'booking' slot di JDT


  • Podium
  • Selasa, 26 Nov 2024

Bersama JDT, Geraldes sempat beraksi dalam 11 perlawanan dan melakukan empat gol dan satu bantuan jaringan.

KEPUTUSAN pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk melepaskan tiga pemain import yang baharu ditandatangani musim ini dilihati satu perkara yang tepat.

Musim ini, JDT telah membawa masuk lebih daripada lima pemain import baharu untuk memperkuatkan setiap posisi di kem Harimau Selatan untuk bersaing di peringkat Asia.

Namun ada beberapa pemain tidak sesuai dengan corak permainan yang dibawa oleh JDT sehingga memaksa Tunku Mahkota Ismail meminjamkan mereka ke pasukan lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan

BACA LAGI: Pernah wakili kelab Jepun, Chan Vathanaka antara 3 import Asean 'underrated' di Liga Malaysia

Majoriti senaraikan prestasi semasa pemain pinjaman JDT yang dilihat satu keputusan tepat dibuat oleh Tunku Mahkota Ismail:

1. Jalil Juan Elias

Kehadiran Jalil Elias ke dalam kancah Liga Malaysia mendapat reaksi yang pelbagai daripada penyokong bola sepak terutamanya pemain ke-12 Harimau Selatan.

Manakan tidak, pemain yang beraksi di pentas tertinggi Liga Argentina itu menyertai JDT yang mempunyai nilai pasaran semasa lebih RM14 juta.

Namun begitu, corak permainan Jalil tidak menepati cita rasa pengendali JDT, Hector Bidalgio yang menyaksikan dia hanya melakukan satu penampilan bersama Harimau Selatan di Liga Super.

Tidak mahu bakat Jalil tenggelam, JDT menghantar pemain kebangsaan Syria itu pulang ke Liga Argentina secara pinjaman dengan menyertai Velez Sarsfield.

Bersama Velez, Jalil hanya tampil dalam 14 perlawanan dengan sembilan daripadanya bermula daripada bangku simpanan.

Jalil juga hanya merekodkan 529 minit permainan bersama Velez meskipun sebelum itu dia merupakan tonggak utama kelab lamanya, San Lorenzo.

2. Francisco Oliveira Geraldes

Baru menyertai JDT semasa jendela perpindahan kedua Liga M, Francisco Oliveira Geraldes telah dihantar ke Sepanyol untuk memberikan lebih minit permainan kepadanya.

Ini kerana posisi Geraldes sudah dipegang rapi oleh Juan Muniz sekali gus peluang untuk pemain itu beraksi dengan kerap agak sukar.

Bersama JDT, Geraldes sempat beraksi dalam 11 perlawanan dan melakukan empat gol dan satu bantuan jaringan di kejohanan domestik Liga M.

Kini Geraldes berkelana di bumi Sepanyol dengan menyertai CD Eldense dan hanya melakukan empat penampilan bersama kelab itu.

3. Nicolao Dumitru Cardoso

Kehadirannya di dalam skuad JDT hanyalah transit untuk ke Liga Indonesia secara pinjaman, Nicolao Dumitru Cardoso tidak pernah melakukan sebarang penampilan bersama Harimau Selatan meskipun mempunyai profil yang hebat.

Antara kelab yang pernah disertai Nicolao ialah FC Empoli, SSC Napoli (Itali), Nottingham Forest (England), Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) dan Buriram United (Thailand).

Namun ia hanyalah indah khabar daripada rupa selepas Nicolao yang beraksi di posisi serangan itu tidak mampu bersaing dengan pemain-pemain sedia ada dalam kem Harimau Selatan.

Ia sekali gus membuatkan pihak pengurusan JDT menghantarnya ke Indonesia untuk menyertai PSS Sleman secara pinjaman.

Bersama PSS Sleman, Nicolao hanya tampil dalam tujuh penampilan dan telah merekodkan satu kad merah.

Dalam tujuh penampilan, pemain berusia 33 tahun itu belum lagi menjaringkan sebarang gol meskipun diberi peluang berada dalam kesebelasan utama sebanyak lima kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram