PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah membuktikan kredibilitinya sebagai pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan pencapaian yang mungkin sukar dilakukan oleh mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.
Juara selama sedekad Liga Super, empat trofi Piala FA, Piala Malaysia dan sembilan Piala Sumbangsih cukup untuk membuktikan kemampuan Tunku Mahkota Ismail dalam menjadi bapa revolusi kepada bola sepak Johor.
Tunku Mahkota Ismail juga cukup terkenal dengan sikap tegasnya dalam menjaga kebajikan pekerjanya yang membuatkan ramai pemain-pemain sangat senang untuk memberikan persembahan terbaik buat Harimau Selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak serik dikecam, giliran JDT jadi karya baharu ‘Mat Saleh’ selepas TFC
Sepanjang memiliki JDT, Benjamin Mora antara jurulatih yang paling lama berkhidmat di keluarga Harimau Selatan apabila beliau bermula sebagai ketua jurulatih JDT II pada 2015 sebelum dinaikkan pangkat pada 2017.
Namun pada musim 2018, Mora kembali membimbing JDT II sebelum diberikan tugas sepenuhnya pada 2020.
Sepanjang bergelar pengendali Harimau Selatan, Mora telah membantu JDT menjuarai sembilan trofi termasuk membawa skuad itu ke pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2022 buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.
Namun adakah anda ingat? Tunku Mahkota Ismail pernah meminta Mora untuk terus berkhidmat bersama JDT sehingga Tunku mengupah beberapa pemuzik Mexico untuk meraikan sesi tandatangan kontrak.
Bukan sahaja mengupah pemuzik Mexico, Tunku juga dengan spontan menari bersama Mora selepas menunjukkan kontrak di atas meja.
Sesi menandatangani kontrak itu turut disaksikan beberapa individu penting dalam organisasi JDT seperti Luciano Figueroa dan Martin Prest.
Namun pada 2022, Mora meninggalkan JDT selepas cemerlang membawa Harimau Selatan ke pusingan ke-16 ACL dan kembali ke Mexico untuk melatih pasukan Atlas FC.
Kini desas-desus Mora akan menggantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan semakin diperkatakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.
Kini menjadi persoalan, adakah Mora bersedia untuk menggalas tugas berat mengendalikan Harimau Malaya kerana jawatan itu memerlukan lebih daripada sekadar pencapaian kelab, termasuk keupayaan beradaptasi dengan cabaran pengurusan pasukan negara dan komunikasi dengan pemain dari pelbagai latar belakang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram