BEKAS pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab bola sepak Liga Indonesia, Persis Solo.
Perkara tersebut diumumkan secara rasmi oleh Persis Solo menerusi hantaran di laman Facebook rasmi pasukan itu awal pagi Selasa.
Perkembangan itu sekali gus menjawab desas-desus berhubung hala tuju Kim Swee yang turut dikaitkan dengan struktur baharu skuad Harimau Malaya sebelum ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan TMJ 'loan' 3 import tepat, prestasi semasa jadi ukuran 'booking' slot di JDT
Kim Swee dibawa masuk sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Bosnia-Herzegovina, Milomir Seslija.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu mengakui teruja menyahut cabaran Persis Solo dalam saingan Liga 1 Indonesia.
Kim Swee berharap sentuhannya dapat membantu pasukan itu mendaki kedudukan lebih baik dalam liga.
"Saya melihat ini sebagai satu peluang bersama satu kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi, yang mana saya hadir bersama Persis dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama.
"Kami ingin memastikan Persis berada di posisi yang baik," katanya.
Persis Solo ketika ini menghuni tangga ketiga tercorot dalam carta liga dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan.
Ini kerana pasukan itu hanya mengutip dua kemenangan, satu keputusan seri dan lapan kekalahan untuk musim 2024-2025.
Kim Swee percaya dengan gabungan pemain muda dan berpengalaman yang tepat, akan membantu Laskar Sambernyawa untuk lebih maju selepas ini.
"Saya memahami Persis memiliki banyak pemain muda, dan ini satu kelebihan.
"Namun, untuk bermain di kejohanan tertinggi, kami perlu memiliki kombinasi pemain senior dan pemain muda untuk bergabung," jelasnya.
Pelantikan Kim Swee disambut baik oleh seluruh penyokong Persis Solo sambil memberikan peringatan awal kepada pengendali berusia 53 tahun itu bahawa pemain-pemain skuad Laskar Sambernyawa tidak bagus seperti di Sabah FC.
"Jurulatih dah bagus, tapi kalau pertahanan Mochammad Zaenuri dan Rian Miziar, maaf kita (Persis Solo) tak akan ke mana," luah Imaduddin.
"Pertama sekali, selamat datang ke bumi Sambernya jurulatih Ong Kim Swee, kedua sebagai penyokong kami sentiasa menyokong anda sebagai jurulatih baharu.
"Ingat dan sedar kualiti pemain-pemain Persis Solo tidak bagus," ujar Megga Widianto.
"Selain kehadiran jurulatih yang bagus, pihak pengurusan juga perlu celik dan pandai membawa masuk pemain yang bagus," kata Samuel Spandzan.
"Tugas sukar menanti, keseluruhan pasukan perlu suntikan semangat baharu apatah lagi untuk membantu Persis Solo kekal di Liga 1 Indonesia," kongsi Wahyoedie Slamet.
Kim Swee bakal membimbing pasukan itu untuk aksi liga seterusnya menentang Barito Putera pada 3 Disember ini.
Pada Khamis lalu, Kim Swee mengumumkan perpisahan dengan skuad Sang Badak selepas kontraknya berakhir secara rasmi 30 November ini.
Sejak dilantik pada September 2021, Kim Swee membantu Sabah menamatkan Liga Super dalam kelompok tiga teratas bagi dua musim berturut-turut selain memacu kemaraan ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC musim lepas.
Untuk rekod, Kim Swee menjadi jurulatih Malaysia terbaharu yang memilih mengembangkan karier mereka di luar negara.
Sebelum ini, bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe pernah menyahut cabaran melatih kelab Thailand, Police Tero. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram