Tak lekang jadi sasaran kecaman, fans tetap puji usaha Abd Rasid Jusoh bangunkan TFC


  • Podium
  • Ahad, 01 Okt 2023

Abd Rasid Jusoh kini tidak lagi menjadi CEO buat Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

ERA baharu bakal tiba dalam bola sepak Terengganu selepas pengurusan tertinggi mereka mengalami perubahan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC), Abd Rasid Jusoh sah melepaskan jawatannya dengan pengganti baharu akan dinamakan untuk mengemudi kelab Pantai Timur tersebut.

Perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu menjadi aksi terakhir skuad Penyu dalam era pengurusan Rasid. Malangnya, TFC tumbang 0-4 kepada Gergasi Merah.

Zaman Rasid menjadi CEO TFC penuh dengan suka duka. Kemuncak era Rasid di TFC apabila pasukan tersebut berjaya menjadi naib juara Liga Super dan Piala FA sambil mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada musim 2022.

Selain itu, Rasid juga bertanggungjawab kepada projek naik taraf fasiliti latihan TFC sambil mewujudkan cabang perniagaan kelab iaitu TFC Lab dan TFC Direct.

Namun begitu, nama Rasid juga tidak lekang daripada menjadi subjek kritikan dan kecaman hebat penyokong. Ada sesetengah penyokong menganggap Rasid punca mengapa Nafuzi Zain dan Faisal Halim meninggalkan TFC selepas musim 2022 tamat.

Akan tetapi, semua itu sudah berakhir. Tiada apa yang boleh diberikan oleh penyokong selain daripada ucapan terima kasih kepada Rasid kerana jasa yang telah dicurahkannya.

"Terima kasih Tuan Abd Rasid Jusoh atas segala jasa dan usaha memajukan Terengganu FC selama ini," kata penyokong bernama Fizi Fizi.

"Terima kasih tuan CEO. Selamat bertugas di tempat baharu," ujar Elissa Najihah Razli.

"Tengok pada senarai pencapaian tu cemerlang juga CEO kita. Terima kasih atas sumbangan dan selamat maju jaya di tempat baru," komen Redzuan Mohd.

Denga perginya Rasid, penyokong TFC mahukan pengganti yang setara atau lebih baik untuk membawa kelab itu semakin maju di masa akan datang.

"Harap CEO seterusnya akan bersemangat dan seseorang yang berani melakukan keputusan drastik untuk TFC. Semangat akan membantu menghadapi perjalanan panjang kita," kata Fithry Ry-kun.

"Harap tukang ambil alih lebih dahsyat, fokus dan komited terhadap kemajuan dan pembangunan TFC, lebih-lebih lagi dalam pemilihan pemain import dan tempatan yang boleh memberikan impak kepada pasukan," ujar Ahmad Azhan.

Buat masa ini, belum lagi ada nama yang akan dinamakan sebagai CEO baharu TFC. Namun menurut sumber Majoriti, pengganti Rasid dikatakan seseorang yang sudah terlibat dengan kelab.

Kita nantikan pengumuman rasmi daripada TFC. Sambil itu, terima kasih dan semoga maju jaya buat Abd Rasid Jusoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram