DSAT serah LOD, minta MB Sanusi ganti rugi RM1 bilion


  • Podium
  • Isnin, 25 Nov 2024

DSAT Group Sdn Bhd (Kiri) telah pun menyerahkan surat LOD kepada Muhammad Sanusi (Kanan) pada Ahad.

DSAT Group Sdn Bhd telah pun menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Ahad.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Azizul Tandek, surat berkenaan diserahkan melalui peguam mereka, Tetuan Gunaseharan & Linda berhubung kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi pada 7 November lalu di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

"DSAT GROUP dan Mahsuri Medical Centre (MMC) telah mengemukakan surat tuntutan tersebut bagi menuntut agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 bilion," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad.

BACA LAGI : Bek tengah dicanang ikut langkah Nafuzi tinggalkan Kedah, ura-ura kembali ke skuad Sang Badak

BACA LAGI : KDA FC terima perletakan jawatan Nafuzi Zain walaupun berat hati, Victor Andrag pengganti interim

Jelas Azizul Tandek lagi, pihaknya memberikan masa tempoh 10 hari untuk Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

"Sekiranya beliau gagal mematuhi segala tuntutan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, DSAT Group dan MMC akan memulakan prosiding di mahkamah dengan serta-merta tanpa memaklumkan kepada YAB Menteri Besar Kedah," katanya.

IMG-20210922-WA0072

Datuk Seri Azizul Tandek

Pada Rabu lalu, media melaporkan Muhammad Sanusi belum menerima LOD daripada DSAT Group berhubung kenyataannya tentang isu pengambilalihan pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 7 November lepas.

Beliau memaklumkan, saman dikemukakan syarikat terbabit kepada dirinya akan menjadi sejarah sekiranya ia benar-benar berjumlah RM1 bilion.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menegaskan, kenyataan dibuat tentang pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak terbabit adalah bersifat umum, sekali gus tidak ditujukan kepada syarikat atau individu tertentu.

"Saya kata apa dekat dia, saya pun tidak tahu. Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa.

"Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia tokak (gigit) cabai. Saya pun tak tahu dia tokak ke tidak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram