“MACAM kita asyik suap anak, lama-lama mereka tak tahu bekerja.
Demikian perumpamaan yang diberikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Wan Jamak Wan Hassan apabila menggambarkan situasi jika Kedah Darul Aman (KDA) FC terus menagih kasih daripada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji kelab berkenaan.
Bekas pengendali Sang Kenari berkenaan tidak menolak idea jika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turun padang untuk membantu KDA FC namun persoalan ‘sampai bila’ dibangkitkan beliau.
Wan Jamak bagaimanapun berkata, kemelut yang melanda skuad Hijau Kuning berkenaan sepatutnya diselesaikan oleh pemilik pasukan seiring dengan status KDA FC sebagai kelab profesional di era penswastaan ini.
“Sepatutnya masalah berkenaan diselesaikan oleh pemilik kelab. Tapi itulah kita ini sentiasa nak mengharapkan ihsan orang lain. Kita nak maju tapi kadang-kadang kelab di negeri tidak ada usaha nak cari dana sendiri.
“Macam kita asyik suap anak lama-lama tak tahu bekerja, nanti terlalu selesa. Saya tak kata dibantu itu baik atau tidak tapi kalau untuk kelab profesional sekarang, perkara itu sepatutnya tak berlaku.
“Bantuan dari kerajaan negeri tidak memundurkan bola sepak tanah air tapi kesilapan akan terus berulang. Contoh jika dibantu tahun ini tapi kalau kelab tak cari dana, akan berlaku lagi perkara sama. Takkan dibantu kerajaan negeri lagi.
“Mereka yang dipertangggungjawabkan perlu duduk dan tampil bola sepak negara. MB (Muhammad Sanusi) boleh tolong tapi sejauh mana kelab asyik ditolong,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Dalam masa terdekat', isu tunggakan gaji Kedah akan diketahui, tak mustahil senasib Kelantan
Para pemain KDA FC dilaporkan sudah tidak menerima gaji selama empat bulan. — Facebook/KDAFC
Tambah Wan Jamak, Menteri Besar bagi sesebuah kerajaan negeri juga perlu memberi fokus kepada sukan lain dan dana yang ada bukan semata-mata disalurkan kepada bola sepak sahaja.
Oleh itu, bekas pengendali Malaysia pada era 90-an berkenaan menjadikan kelab seperti Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC (TFC) dan Selangor sebagai kelab terbaik buat Kedah jadikan contoh dalam mengendalikan pasukan.
“Bagi saya sekarang kelab jadi swasta dah bagus. Selangor, JDT, TFC, Pahang semua elok sahaja. Pada saya setiap kelab kena lihat kantung kewangan dia. Jika kantung boleh tahan empat bulan sahaja, berpada-padalah.
“Jika ada simpati daripada orang berkepentingan kelab seperti MB yang tak mahu tengok Kedah tidak masuk Liga Super, mungkin kali ini akan ditolong tapi lepas ini kena sedar diri,” ujarnya.
Wan Jamak berkata demikian selepas Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail menasihatkan Muhammad Sanusi untuk membantu KDA FC menangani masalah gaji.
Wan Jamak pernah mengendali Kedah pada musim 2011-2012. — Agensi
BACA LAGI: Tak payah sibuk hal bola Kedah, baik AMK bising hal ringgit melemah
Mohammad Fitri berkata, keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan negeri amat diperlukan untuk memastikan Kedah terus memberikan saingan dalam liga negara.
"Sanusi tidak boleh hanya berpeluk tubuh, perlu ambil tanggungjawab bantu cari penyelesaian isu ini yang sepatutnya selesai pada 31 Januari lalu.
“Ia perlu ditangani dengan cara lebih prihatin biar pun pasukan itu bukan lagi bawah pengurusan kerajaan negeri secara langsung dan dibiayai penaja,” ujarnya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa, KDC berpotensi untuk menerima nasib sama seperti Kelantan yang disingkirkan daripada Liga Super seandainya mereka tidak menyelesaikan isu tunggakan gaji para pemain selama empat bulan.
Sang Kenari dilaporkan diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk menyelesaikan perkara tersebut namun selepas tarikh berkenaan masih belum ada perkembangan positif mengenai isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram