PENGANJURAN aksi Piala Sumbangsih yang diadakan serentak dengan perlawanan pertama Liga Super terus menjadi bualan hangat peminat bola sepak sehingga hari ini.
Bagi mereka, pertandingan itu sepatutnya diasingkan kerana rata-rata liga utama seluruh dunia berbuat demikian kerana tidak mahu mengganggu perjalanan liga.
Namun, dalam kancah bola sepak tempatan, format sebaliknya dipraktikkan dengan pemenang Piala Sumbangsih secara automatik meraih tiga mata pertama Liga Super.
BACA LAGI: Umum Piala Sumbangsih batal, tapi JDT tetap dianggap juara
BACA LAGI: ‘Piala Sumbangsih nama sultan, jangan sesuka hati tukar jadi Piala Sumbangan'
JDT dinobatkan sebagai pemenang Piala Sumbangsih 2024 meskipun aksi itu tidak diadakan. — Facebook/MFL
Perubahan terus didesak kerana penyokong beranggapan piala tersebut sepatutnya dipertandingkan di venue berkecuali selain diasingkan daripada aksi divisyen teratas tanah air.
Bagaimanapun, bagi bekas pengendali Johor FA, Wan Jamak Wan Hassan, percaturan sedemikian tidak membawa sebarang isu terhadap mutu pertandingan.
"Perkara ini sudah berlarutan beberapa lama, jadi kenapa pula isu ini timbul? Ini mungkin kerana kes yang timbul dan kita sendiri tidak tahu.
"Saya melihat ia sebelum ini diasingkan kerana Piala Sumbangsih dimainkan dahulu dan diikuti pasukan lain dalam liga, saya rasa perkara itu tidak ada masalah.
"Jadi, kalau ada cadangan yang baik, saya beranggapan mana-mana pihak boleh hantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk cadangan itu," katanya kepada Majoriti.
Musim ini, aksi Piala Sumbangsih atau juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC.
Wan Jamak menggesa cadangan dikemukakan secara formal terhadap badan induk bola sepak negara.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah mengambil pendirian untuk tidak menghadiri perlawanan itu atas faktor keselamatan susulan serangan dialami pemainnya, Faisal Halim minggu lalu.
Tindakan mereka itu menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada JDT selain menganugerahkan mereka dengan Piala Sumbangsih.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 66 tahun itu berkata, peraturan awal dikeluarkan membuatkan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu berhak menerima trofi berkenaan seperti mana diumumkan.
"Undang-undang sudah mengatakan Piala Sumbangsih akan dimainkan antara JDT dan Selangor FC. Tetapi, disebabkan insiden tidak dapat diatasi, keputusan terpaksa diambil.
"Jadi, tidak kiralah apa jua keadaan sekali pun, mata masih perlu diberikan kepada pasukan yang menunggu. Dengan itu, perlawanan itu terbatal dan JDT meraih tiga mata, menang 3-0 dan meraih piala," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram