Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang


  • Podium
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Kesebelasan utama Terengganu ketika menewaskan Melaka dengan keputusan 4-1 di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.

TERENGGANU FC mudah menundukkan Melaka FC dalam perlawanan pertama pusingan ke-16 Piala Malaysia meskipun pasukan tuan rumah menurunkan lebih ramai pemain import daripada skuad Sang Penyu.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu (23 November) itu menyaksikan anak-anak buah Badrul Afzan Razali tiada masalah untuk mendahului Melaka FC meskipun membariskan tiga import.

Manakala pengendali Melaka, K.Devan memanfaatkan peluang kuota import apabila menurunkan empat pemain 'awang hitam' bagi memberikan saingan buat Sang Penyu.

BACA LAGI: Pernah wakili kelab Jepun, Chan Vathanaka antara 3 import Asean 'underrated' di Liga Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Rahsia sebenar Indonesia, semangat pemain warisan jiwai 'Tanah Airku' antara faktor kejayaan Sang Garuda

Belum pun memasuki minit ke-10, gawang gol Melaka telah dibolosi oleh sepakan deras kaki kiri Muhd Safawi Rasid selepas menerima hantaran lintang daripada Muhd Akhyar Rashid.

Jaringan Safawi itu menutup mulut segelintir penyokong Terengganu yang mahukan dia direhatkan oleh jurulatih susulan prestasi yang kurang memberangsangkan sejak beberapa perlawanan terakhir bersama Sang Penyu.

"Ramai yang kutuk sebab Safawi main malam ini, sekali dia yang jaringkan gol," kata Muhammad Shukri.

"Saya dah kata Safawi bagus, ramai tak percaya," ujar Fajar Addin.

Pada minit ke-15, Akhyar Rashid pula memanfaatkan jaringan kedua Terengganu menerusi sepakan penalti selepas dijatuhkan oleh pertahanan Melaka, Muhd Hafiz Johar.

Perlawanan kembali seimbang apabila giliran Melaka pula menyerang ke arah gawang gol Terengganu.

Namun pengalaman yang ada pada Manuel Ott jelas membayangi pemain-pemain Melaka untuk mengawal kawasan tengan permainan.

Pemain-pemain import Melaka pula masih belum berpeluang untuk menunjukkan keupayaan masing-masing apabila Terengganu lebih banyak memegang bola.

Keputusan kekal 2-0 dengan Terengganu mendahului hasil jaringan Akhyar dan Safawi sebelum wisel tamat separuh masa pertama ditiupkan oleh Tuan Mohd Yaasin.

Bersambung babak kedua perlawanan, Melaka bagai dirasuk semangat baharu apabila memulakan serangan ke arah benteng pertahanan Terengganu.

Namun begitu usaha Melaka itu tidak menjadi apabila Akhyar Rashid mengandakan jaringan Terengganu selepas menyempurnakan tandukan hasil hantaran Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-53.

Dua minit kemudian, Melaka bangkit apabila pemain import, Fuseini Issah menjaringkan gol untuk merapatkan kedudukan bersama Terengganu.

Melihat jaringan itu, penyokong Terengganu tidak berpuas hati dengan barisan pertahanan apabila bolos menentang wakil Liga Semi-Pro A1.

"Pertahanan berterabur lawan kelab bawah sahaja pun," kata Hud Mohd.

"Penyakit lama dah sampai, elok 'leading' main sambil lewa selalu," ujar Ihdafluz Qifays.

Penyokong Sang Penyu juga tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Ismaheel Akinade selepas tidak dapat mencetak nama selaku penjaring.

"Ismaheel teruk sangat main, bola kaki pun tak boleh gol lagi," kata Ahmad Zamani.

"Lembik sangat Ismaheel ini," ujar Fazil Haraz.

"Ismaheel main bayar mahal-mahal tapi macam itu juga," jelas Aminuddin Lina.

Dalam kritikan penyokong Terengganu itu, pemain gantian, Muhd Alif Zakaria berjaya meledak jaringan roket selepas menerima sungkitan bola daripada Akinade untuk meletakkan Terengganu di depan dengan jaringan empat gol.

Perlawanan tamat dengan keputusan 4-1 sekali gus Terengganu membawa bekalan selesa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 29 November nanti bagi perhintungan perlawanan timbal balik pusingan ke-16 Piala Malaysia 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram