LOGO Johor Darul Ta'zim (JDT) kini menjadi mainan baharu seorang pencipta kandungan, Harry Nyeillustrations selepas dia mengubah lambang keramat Harimau Selatan yang digunakan sejak 2013.
Sebelum ini tindakan 'Mat Saleh' dari luar negara yang mengolah logo rasmi Terengganu FC mendapat reaksi negatif daripada penyokong Sang Penyu sendiri.
Terbaharu menerusi hantaran Instagram @harrynyeillustrations telah menggunakan bakatnya untuk mengubah logo JDT yang sudah sinonim dengan penyokong kelab Selatan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari bangku simpanan kini ‘regular starter’ Liga M musim 2024
BACA LAGI: Miliki 12 pemain warisan dari Eropah, Sri Lanka sedia hadapi Malaysia di Kelayakan Piala Asia
Harry yang mendapat permintaan daripada seorang individu terus mencari maklumat tentang JDT di internet sambil mengubah sepenuhnya logo Harimau Selatan.
Individu itu mengekalkan harimau sebagai elemen utama disertakan mahkota diraja dengan mengekalkan warna asal iaitu biru gelap.
Pereka grafik itu turut mengaplikasikan logo itu ke dalam bentuk jersi sebagai contoh jika pihak pengurusan mahu menggunakan reka bentuknya itu.
Namun, usaha Harry kurang mendapat sambutan positif daripada penyokong selepas mereka beranggapan logo asal lebih baik.
"Pendapat saya, saya lagi berminat logo asal tapi apa-apa pun kerja yang bagus," kata Customwerkz.
"Ia nampak baik, tapi kurangnya warna merah tidak cukup untuk melambangkan bendera Johor, saya rasa anda perlu meletakan warna merah juga," jelas I.am.hg.
"Perlu lebih banyak kajian untuk buat logo," ujar I.ben.ibrahim.
"Kerja yang bagus, tapi di Malaysia selalunya bulan dan bintang kami letakan di bahagian paling atas logo," luah Mirul Azisz.
Harry juga sempat menjelaskan pemilihan mahkota untuk melambangkan Tengkolok Diraja tradisional.
Selain JDT, Harry juga ada mengolah beberapa kelab negara jiran antaranya Persija Jakarta, Persib Bandung dan pasukan di Eropah.
Logo yang diguna pakai oleh pihak pengurusan JDT ialah hasil rekaan dan idea Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas pasukan itu ditransformasikan sebagai kelab swasta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram