[VIDEO] Benjamin Mora calon pengendali Harimau Malaya? Rekod bersama 2 kelab lepas JDT wajar jadi rujukan


  • Podium
  • Ahad, 24 Nov 2024

Mora menjadi salah seorang finalis untuk anugerah 'Coach of the Year CPL 2024'.

DESAS-DESUS bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora akan menggantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih kuat kebangsaan semakin diperkatakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Manakan tidak, Mora sebelum ini yang bekerja rapat dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sehingga mencipta pelbagai kejayaan bersama Harimau Selatan.

Perkara itu menguatkan lagi khabar angin tersebut apabila Tunku Mahkota Ismail bakal mengetuai organisasi baharu di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan membawa 1001 perubahan landskap bola sepak negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Rahsia sebenar Indonesia, semangat pemain warisan jiwai 'Tanah Airku' antara faktor kejayaan Sang Garuda

BACA LAGI: Ong Kim Swee beri kemenangan ke-50 buat Sang Badak, fans anggap hanya perlawanan latihan Sabah FC

Tidak dinafikan jurulatih kelahiran Mexico itu merupakan seorang individu yang berjaya di dalam Liga Malaysia apatah lagi memacu JDT menjuarai sembilan trofi iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.

Namun begitu, jurulatih yang mengendalikan JDT pastinya mampu membawa pulang trofi di penghujung musim apabila Tunku Mahkota Ismail telah menyediakan 'set' pemain-pemain terbaik di dalam negara ke kem Harimau Selatan.

Sama seperti bekas pengendali Mario Gomez yang berjaya memenangi Piala AFC 2015 dengan barisan pemain terbaik JDT sebelum pencapaiannya sebagai jurulatih merudum selepas meninggalkan Harimau Selatan.

Jadi adakah Mora turut mempunyai nasib yang sama selepas meninggalkan JDT? Majoriti huraikan rekod semasa pengendali berusia 45 tahun itu bersama Atlas Guadalajara dan York United FC.

1. Atlas Guadalajara

Mora dilantik sebagai pengurus Atlas Guadalajara pada Oktober 2022 bagi menggantikan Diego Cocca selepas beliau menyertai gergasi Mexico, Tigres UANL pada tahun yang sama.

Bersama Atlas Guadalajara dalam Liga MX (Liga Mexico) tidak begitu cemerlang dan berakhir dengan pemecatannya pada 30 Oktober 2023 susulan prestasi menurun pasukan pada pusingan kedua liga.

Sepanjang tempohnya di Atlas, Mora memimpin pasukan dalam 41 perlawanan dengan catatan 13 kemenangan, 13 seri, dan 15 kekalahan.

Dalam musim 2023, Atlas berada di tangga ke-13 dengan 16 mata hasil daripada empat kemenangan, empat seri dan enam kekalahan.

Pasukan juga gagal memberikan prestasi yang baik di Liga Juara-Juara CONCACAF, serta mengalami kekalahan besar 4-1 kepada seteru utama, Guadalajara, dalam derbi 'Clásico Tapatío', yang menjejaskan hubungannya dengan penyokong.

Meskipun membawa pengalaman besar dari JDT, termasuk gelaran liga dan kejayaan lain, cabaran di Liga MX membuktikan bahawa ia adalah perjalanan yang lebih sukar.

2. York United FC

Mora menandatangani kontrak bersama York United FC pada Jun 2024, selepas kelab tersebut memecat jurulatih terdahulu, Martin Nash.

Mora datang ke York United selepas pengalamannya bersama Atlas FC di Liga MX, serta kejayaannya bersama Johor Darul Ta'zim di Malaysia.

Beliau diberi tanggungjawab untuk memperbaiki prestasi kelab yang berada di kedudukan kelima Liga Canada itu.

Di bawah bimbingannya, York United mencapai rekod mata tertinggi dalam sejarah kelab dan berjaya melayakkan diri ke playoff dengan menamatkan musim di tempat keempat

Mora memimpin York United untuk menduduki tempat keempat dalam liga dengan rekod 11 kemenangan, 11 seri, dan enam kekalahan, memperoleh 39 mata.

Ia adalah rekod mata tertinggi dalam sejarah kelab, mengatasi pencapaian sebelumnya sebanyak 38 mata pada 2023​.

Selain itu, Mora menjadi salah seorang finalis untuk anugerah 'Coach of the Year CPL 2024', mengiktiraf peranannya dalam meningkatkan prestasi York United dalam masa yang singkat​.

Walaupun tempoh beliau bersama kelab adalah singkat, dengan hanya lima bulan, Mora berjaya mencatat peningkatan prestasi yang signifikan sebelum meninggalkan kelab pada November 2024 atas persetujuan bersama.

Kini menjadi persoalan, adakah Mora bersedia untuk menggalas tugas berat mengendalikan Harimau Malaya kerana jawatan itu memerlukan lebih daripada sekadar pencapaian kelab, termasuk keupayaan beradaptasi dengan cabaran pengurusan pasukan negara dan komunikasi dengan pemain dari pelbagai latar belakang.

Namun, tidak dinafikan dengan rekod kejayaannya, Mora adalah calon yang berkelayakan untuk memimpin Harimau Malaya ke tahap yang lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram