Sang Garuda buat U-turn, panggil 6 pemain beraksi di luar negara perkuat skuad Piala AFF 2024


  • Podium
  • Isnin, 25 Nov 2024

Hubner antara pemain yang akan memperkuatkan skuad Indonesia di kejohanan Piala AFF 2024.

PERSATUAN SEPAK BOLA INDONESIA (PSSI) telah mengumumkan secara rasmi senarai 33 pemain Indonesia yang akan membawa cabaran itu ke kejohanan dwitahunan Piala AFF 2024 pada bulan depan.

Sebelum ini, pengendali Indonesia, Shin Tae-yong memberitahu tidak akan memanggil bintang-bintang warisan dan akan memberi lebih peluang kepada pemain muda.

Namun, PSSI dilihat membuat pusingan U apabila membariskan seramai enam pemain yang beraksi di luar negara bagi membentuk skuad terbaik bagi kejohanan Piala AFF tahun ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Safawi Rasid bangga pasukan beri 100 peratus, Melaka FC yakin masih mampu cipta kejutan

BACA LAGI: Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang

Antara pemain-pemain yang dipanggil oleh Tae-yong ialah Justin Hubner, Asnawi Mangkualam, Pratama Arhan, Ivan Jenner, Marselino Ferdinan, Rafael Struick dan Ronaldo Joybera.

Ia jelas memberikan gambaran bahawa Indonesia begitu serius untuk memenangi kejohanan Piala AFF buat pertama kali selepas kecewa pada 2020.

Dari sembilan edisi sebelum ini, Indonesia berjaya berada di pentas akhir sebanyak tiga kali sebelum dikecewakan oleh Malaysia (2010) dan Thailand (2016, 2020).

Dalam pada itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memuat naik ciapan dengan berkongsi bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga akan mengumumkan senarai nama skuad kebangsaan yang akan mewakili Malaysia di kejohanan itu.

Nama-nama bintang seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, Nooa Laine dijangka tiada dalam skuad kali ini berikutan komitmen terhadap kelab yang akan bersaing di kejohanan Asia.

"Marselino Ferdinan ke Piala ASEAN 2024. Turut berada dalam skuad Garuda, Ivan Jenner, Justin Hubner, Pratama Arhan dan Asnawi Mangkualam.

"Manakala, FAM dijangka umum pemain minggu ini."

Kali terakhir Harimau Malaya menjuarai Piala AFF ialah pada 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di bawah kendalian Datuk K.Rajagopal.

Manakala pada edisi 2014 dan 2018, Malaysia sekadar berpuas hati di tempat kedua selepas tewas kepada Thailand dan Vietnam.

Malaysia akan memulakan saingan Piala AFF berdepan Kemboja pada 8 Disember sebelum kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melayani kunjungan Timor Leste pada 11 Disember.

Pada 14 Disember, Malaysia akan bertemu Thailand di Bangkok sebelum menghadapi 'Derbi Causeway' menentang Singapura di halaman sendiri pada 20 Disember.

Skuad kendalian Pau Marti diundi berada dalam Kumpulan A dengan tempat pertama dan kedua sahaja akan layak ke pusingan separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram