'Made in Serbia' jurulatih Jepun dilapor bakal kemudi Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 23 Nov 2024

Kinoshi menjadi jurulatih Jepun pertama dan mungkin jurulatih Asia pertama yang berada dalam barisan kejurulatihan untuk pasukan gergasi Eropah.

FINALIS Piala FA 2024, Selangor FC, dilaporkan akan mendapatkan khidmat pembantu jurulatih kebangsaan Serbia, Katsuhito Kinoshi.

Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Serbia yang memaklumkan bahawa perlawanan menentang Denmark pada 19 November adalah penampilan terakhir Kinoshi bersama pasukan nasional Serbia.

"Perlawanan menentang Denmark di Leskovac merupakan aksi terakhir Katsuhito Kinoshi dari pasukan Serbia.

BACA LAGI: Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang

BACA LAGI: Ong Kim Swee beri kemenangan ke-50 buat Sang Badak, fans anggap hanya perlawanan latihan Sabah FC

"Selepas berbincang dengan jurulatih Dragan Stojkovic, beliau menerima tawaran Selangor dan akan menjadi jurulatih utama kelab Malaysia itu,” menurut kenyataan badan induk tersebut.

Kinoshi menyifatkan tempohnya bersama Serbia selama tiga setengah tahun sebagai pengalaman yang bernilai dan menyeronokkan.

“Saya terhutang budi kepada Dragan Stojkovic atas kepercayaan yang diberikan dan pengalaman ini akan saya manfaatkan di masa depan,” ujar Kinoshi selepas perlawanan terakhirnya menentang Denmark.

Ketika ini, Selangor dikendalikan oleh Abdi Hassan dan Shahrom Kalam selepas perletakan jawatan bekas jurulatih, Nidzam Jamil, beberapa minggu lalu.

Bagi yang tidak mengenali siapa Kinoshi, beliau merupakan penolong ketua jurulatih pasukan nasional Serbia dibawah Dragon Stojkovic, yang juga merupakan legenda sebagai pemain dan ketua jurulatih di Jepun.

Kinoshi menjadi jurulatih Jepun pertama dan mungkin jurulatih Asia pertama yang berada dalam barisan kejurulatihan untuk pasukan gergasi Eropah.

Beliau telah membuktikan bahawa jurulatih dari Asia juga mampu bersinar di luar negara dan boleh dijadikan contoh kepada jurulatih-jurulatih tempatan di Malaysia untuk cuba melebarkan sayap mereka ke luar negara sekaligus keluar dari zon selesa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram