Elak Kedah jadi kelab utara ketiga dimalukan Sabah, 3 prinsip Sang Badak perlu diperhatikan


  • Podium
  • Selasa, 29 Okt 2024

Kedah akan berkunjung ke Stadium Likas pada Selasa bagi aksi Liga Super minggu ini. — Facebook/KDAFC

KUNJUNGAN Sabah FC ke tanah Semenanjung baru-baru ini memberi tuah kepada Sang Badak apabila berhasil membawa pulang enam mata berharga selepas menewaskan dua kelab berpangkalan di Utara tanah air iaitu Perak FC dan Penang FC.

Perlawanan pada 19 Oktober lalu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merekodkan kemenangan 4-2 ke atas pasukan The Bos Gaurus (TBG), yang dijaringkan oleh Ko Kwang-min, Stuart Wilkin, Joao Pedro dan Miguel Cifuentas.

Rekod kemenangan Sang Badak dapat dipertahankan di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang apabila berhasil menewaskan Harimau Kumbang dengan empat gol berbalas kosong menerusi Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami nak tuntut janji Syamer Kutty', fans Penang 'claim' 3 mata berdepan Sabah

BACA LAGI: 'Luka yang melukakan', skil Milunovic, kesilapan Shivan punca Perak FC biar Sang Penyu curi mata

Kemenangan besar dan aksi konsisten yang dipamerkan Sabah itu pasti ditakuti Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila selepas ini giliran mereka pula akan berebut mata di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Oleh itu, dalam usaha meraih tiga mata selepas keciciran dua mata pada aksi menentang PDRM FC susulan seri 1-1, skuad kendalian Nafuzi Zain perlu menelaah semula prinsip yang digunakan Sang Badak ketika menentang Perak dan Penang.

1) Gol luar kotak pemain

Gol jarak jauh atau luar kotak penalti sering memukau peminat bola sepak. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa kemahiran seorang pemain bola sepak dalam menjaringkan gol dari jarak jarak jauh masih menjadi sebutan penyokong.

Dalam dua perlawanan Sabah FC menentang Penang dan Perak, sebanyak enam gol jarak jauh dihasilkan oleh barisan pemain The Rhinos dengan rata-ratanya masih menjadi omongan penyokong dek kecantikannya.

Ketika bertemu Penang FC, Saddil, Peres, Wilkin dan Dominic masing-masing menjaringkan gol ajaib dari luar kotak penalti yang tidak berjaya diselamatkan Sikh Izhan hingga menyaksikan penjaga gol muda negara itu terpaksa dikeluarkan.

Dengan kelebihan yang ada itu, anak-anak Nafuzi perlu bersiap sedia pemain Sang Badak akan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan gol dan sepakan jarak jauh antara alternatif mereka.

2) Kelincahan Saddil Ramdani di sayap kiri

WhatsApp Image 2024-10-28 at 21.01.05

Saddil ketika perlawanan menentang Penang pada Jumaat lepas. — Facebook/SabahFC

Selepas sembuh dari kecederaan dihadapinya dan terlepas lima perlawanan Liga Super, Saddil Ramdani tidak menunggu lama untuk menghilangkan kempunannya dalam mencetak gol buat skuad Sang Badak.

Rembatan lencong kaki kiri dari sebelah yang tepat menuju ke penjuru kiri atas gawang Sikh Izhan yang dilakukan Saddil di Stadium Bandaraya memberi dia kesempatan dinobat sebagai Pemain Paling Bertenaga Extra Joss minggu lalu.

Kelincahan dimiliki pemain kebangsaan Indonesia berkenaan akan menjadi aset penting buat Sabah pada musim ini susulan Sang Badak memerlukan kreativiti Saddil untuk mendapatkan jaringan penting.

Kekacauan yang Saddil akan lakukan di jentera serangan Sabah khususnya di bahagian sayap kiri akan memberi mimpi ngeri buat pertahanan Sang Kenari dalam menjaga gawang mereka daripada dibolosi.

3) Formasi 4 2 4

WhatsApp Image 2024-10-28 at 21.01.01

Kesebelasan utama Sabah sewaktu menentang Penang dan Perak. — Facebook/SabahFC

Formaasi 4-2-4 menggunakan empat pemain pertahanan, dua pemain tengah dan empat pemain hadapan. Formasi itu boleh dikatakan sangat agresif kerana meletakkan empat pemain bahagian serangan di hadapan.

Dalam perlawanan menentang dua pasukan Utara itu, Kim Swee menggunakan formasi sama dengan masih memberi kepercayaan kepada 11 pemain yang sama iaitu Damien (penjaga gol), Dominic, Peres, Min-ko dan Daniel Ting di bahagian belakang.

Manakala, Telmo Castanheira dan Wilkin diberi amanah untuk mengendalikan bahagian tengah. Jentera serangan Kim Swee menyenaraikan Pedro, Kumaahran dan Saddil sementara Cifuentas diberikan kebebasan di bahagian hadapan untuk membantu serangan mahupun pertahanan.

Bagi mematahkan formasi yang mungkin dilancarkan Sang Badak, Kedah boleh menggunakan formasi 4-3-3 kerana kehadiran tiga pemain tengah atau pemain tengah akan memberi lebih kebebasan kepada pasukan untuk mengawal permainan.

Gandingan Amirul Hisyam Awang Kechik dan Halim Saari boleh mematahkan serangan Sabah dengan Syafiq Ahmad sebagai pemain no 10 merupakan antara formula yang boleh diterapkan Nafuzi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram