Syafiq Ahmad terlepas aksi bertemu Sabah?


  • Podium
  • Selasa, 29 Okt 2024

Syafiq setakat ini sudah mencetak dua gol buat KDA FC setakat ini. — Facebook/KDAFC

KEM Kedah Darul Aman (KDA) FC dijangka terlepas khidmat penyerang sensasi mereka, Syafiq Ahmad dalam perlawanan menentang Sabah FC bagi saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Kehilangan Syafiq mula meniti di bibir penyokong Sang Kenari apabila kelibatnya tidak kelihatan pada hantaran foto-foto sesi latihan dan perjalanan mereka ke Sabah yang dimuat naik olah media sosial rasmi KDA FC.

Bukan itu sahaja, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu juga dilihat berkongsi gambar puteranya iaitu Muhammad Afeef Saqeef yang kelihatan sedang berada di wad hospital.

BACA LAGI: Elak Kedah jadi kelab utara ketiga dimalukan Sabah, 3 prinsip Sang Badak perlu diperhatikan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami nak tuntut janji Syamer Kutty', fans Penang 'claim' 3 mata berdepan Sabah

Perkongsian gambar yang menunjukkan Syafiq seolah-olah sedang menemani anaknya pada Isnin itu memberi petunjuk bahawa penyerang berusia 29 tahun berkenaan berkemungkinan tidak turut serta dalam perlawanan petang ini.

Namun begitu, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Kedah mahupun dari Syafiq sendiri sama ada dia akan disenaraikan dalam skuad menentang Sabah atau sebaliknya.

Kehilangan khidmat penyerang kelahiran Bayan Lepas itu di bahagian hadapan Kedah pastinya dirasai susulan Syafiq merupakan watak utama Sang Kenari dalam sembilan perlawanan Liga Super.

Syafiq musim ini banyak memainkan peranan sebagai penyerang tengah dan pemain nombor 10 dengan dia akan bergandingan bersama Milos Gordic untuk sama-sama meraih jaringan gol buat Kedah.

WhatsApp Image 2024-10-29 at 14.10.47

Tangkap layar Insta Story Syafiq.

Sekiranya Syafiq tidak disenaraikan, Nafuzi Zain boleh memberi kepercayaan kepada Faiz Nasir atau Fadzrul Danel untuk beraksi bersama Milos dengan dua pemain itu boleh berperanan sebagai pemain tengah menyerang.

Dalam pada itu, Sabah yang akan melayan kunjungan Kedah itu pastinya masih bermotivasi untuk mengekalkan rekod kemenangan selepas menewaskan dua kelab berpangkalan di Utara tanah air iaitu Perak FC dan Penang FC.

Perlawanan pada 19 Oktober lalu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee merekodkan kemenangan 4-2 ke atas pasukan The Bos Gaurus (TBG), yang dijaringkan oleh Ko Kwang-min, Stuart Wilkin, Joao Pedro dan Miguel Cifuentas.

Rekod kemenangan Sang Badak dapat dipertahankan di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang apabila berhasil menewaskan Harimau Kumbang dengan empat gol berbalas kosong menerusi Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram