Dulu langsung tak dikenali, kini bintang muda Perak, Sabah dan JDT tempah nama aksi debut Piala Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 25 Nov 2024

Daniel Hakimi (kiri) yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC berhasil meledak gol kemenangan untuk Perak. — Facebook/PerakFC

PUSINGAN pertama Piala Malaysia musim 2024 tampil penuh kelainan apabila tiga pasukan Liga A1 Semi-Pro iaitu Melaka FC, PT Antlers FC dan KL Rovers FC dipilih untuk berentap dengan 13 pasukan Liga Super.

Pada saingan edisi 2023, terdapat hanya penyertaan dua pasukan liga berkenaan sekali gus menambah kehangatan dan persaingan bagi merebut piala berprestij berkenaan.

Pertembungan lapan perlawanan untuk aksi pertama sudah selesai dan kini 16 pasukan tersebut sedang menghitung hari untuk memasuki aksi timbal balik bagi mengesahkan tiket ke pusingan suku akhir.

BACA LAGI: Akademi JDT menyerlah di Piala Supermokh 2024, platform cungkil bakat terbaik bola sepak negara

BACA LAGI: Bola sepak Malaysia tak gagal, individu dalam industri yang gagal — TMJ

Lebih menarik lagi, saingan kali ini menyaksikan hampir kesemua pasukan meletakkan pemain muda bagi tujuan pendedahan buat mereka.

Meskipun ada dalam kalangan mereka tidak membawa impak besar, kelibat 'ubi muda' dalam pasukan menjadi bukti bahawa kelab Liga Super tidak mengabaikan perkembangan barisan pelapis.

Namun, berdasarkan pemerhatian setakat aksi pertama kesemua 16 pasukan, terdapat tiga pemain muda yang memanfaatkan peluang beraksi dalam pertandingan berusia lebih 100 tahun itu.

1) Ahmad Daniel Hakimi

Pemain muda Perak FC yang mendapat peluang debut bersama pasukan utama ialah, Ahmad Daniel Hakimi apabila prospek Bawah-20 tahun itu dimasukkan menggantikan Adilet Kanybekov pada babak kedua.

Daniel Hakimi yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia menjalankan peranannya dengan baik apabila berfungsi dalam melakukan percubaan ke kubu lawan.

Bukan hanya mengawal tengah dengan baik, Daniel Hakimi juga meledak gol debut bersama skuad The Bos Gaurus (TBG) menerusi sepakan penalti apabila pemain itu dijatuhkan pada minit ke-89 dan memberi kemenangan 3-0 kepada Perak.

Kelincahan pemain itu jelas menutup ketiadaan Luciano Guaycochea sehingga ada juga penyokong memberinya gelaran 'Messi' baharu Liga Malaysia selepas persembahan mengagumkan pada babak kedua.

2) Daniel Haqim Deraman

Sejak menyertai Sabah FC pada awal musim 2023, Daniel Haqim Deraman gagal menembusi skuad utama Datuk Ong Kim Swee dan akhirnya sekadar menjadi pilihan kedua barisan kejurulatihan Sang Badak.

Namun, namanya baru-baru ini menjadi siulan para penyokong The Rhinos apabila berhasil mencetak gol kedua sewaktu kemenangan 4-0 ke atas PT Athletic FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Gol pertamanya buat skuad utama The Rhinos itu diharapkan boleh menjadi motivasi agar Daniel Haqim kembali menjadi pemain sensasi tanah air selepas kali terakhir menjadi topik penyokong pada musim 2018 hingga 2020.

Pemain berusia 25 tahun itu pernah mencipta nama bersama Kelantan dari 2018 hingga 2020, kecemerlangannya memikat sehingga menyertai pasukan gergasi, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2021.

3) Alif Mutalib

1234456

Alif Mutalib (tengah) mencuri tumpuan dalam aksinya berdepan KL Rovers. — Facebook/JDT

Ketika kemenangan 3-0 JDT ke atas KL Rovers pada Rabu di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor menerusi hatrik pemain import iaitu Heberty Fernandes, beberapa pemain muda berhasil mencuri tumpuan.

JDT memberikan Alif Mutalib, G. Pavithran dan Chrisitian Abad penampilan pertama bersama skuad utama Harimau Selatan dan ia berjaya menarik perhatian penyokong yang hadir dengan persembahan mereka.

Tumpuan nyata terarah kepada Alif yang beraksi di bahagian sayap dengan persembahannya mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada Arif Aiman Hanapi.

Melihat kepada potensi yang ada padanya, ramai berpendapat dengan latihan yang betul, Alif boleh menjadi cemerlang seperti Arif yang kini merupakan watak utama JDT dan skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram