SEBELUM ini, Kedah Darul Aman FC dikejutkan dengan berita entiti dikenali sebagai DSAT Group Sdn. Bhd. berminat untuk mendapatkan kelab itu.
Entiti yang diketuai oleh Datuk Seri Azizul Tandek itu begitu berminat dengan Kedah dan sanggup menamatkan segala isu kewangan kelab namun usahanya tidak berhasil apabila rundingan gagal.
Akan tetapi, jika benar DSAT Group begitu berminat untuk melabur dalam bola sepak, mereka boleh cuba menukar angin dari Utara Semenanjung Malaysia kepada Lembah Klang pula.
BACA LAGI: Harapan palsu atau tidak, kepak Kenari pesan DSAT urus Kedah elok-elok jika dapat ambil alih
BACA LAGI: DSAT Group perlu lebih 'berani', sedia ikut syarat jika mahu miliki Kedah
Peluang terbuka luas di Lembah Klang
Selepas usaha mendapatkan Kedah gagal, DSAT Group boleh mengalihkan tumpuan mereka dengan mendapatkan sebuah kelab iaitu Kuala Lumpur Rovers di Lembah Klang.
KL Rovers ketika ini dalam proses untuk dijual, dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sedang mencari pelabur berminat terhadap kelab Liga A1 Semi-Pro tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata kelab itu terpaksa dijual kerana pengurusan sedia ada tidak tampil membantu kelab dalam keadaan sukar.
KL Rovers antara kelab berprestasi tinggi di Liga A1 Semi-Pro.
Disebabkan itu, kelab itu dinilaikan pada harga RM3.5 juta dan ia termasuk dengan tunggakan gaji melibatkan para pemain kelab Lembah Klang tersebut.
Melihat kepada perkara itu, ia dilihat sebagai satu peluang yang baik untuk DSAT Group mengambil alih KL Rovers dan menyelamatkan satu kelab Malaysia daripada gulung tikar akibat masalah kewangan.
Dengan sumber kewangan yang kukuh, DSAT Group ditambah harga permintaan (asking price) yang tidak terlalu tinggi, sudah pasti Azizul dan entitinya tiada masalah untuk memiliki KL Rovers.
Jika berjaya mendapatkan KL Rovers, ia semestinya dapat memberikan nafas baharu kepada kelab tersebut untuk terus bersaing.
KL Rovers kini dijual pada harga RM3.5 juta
Mula dari bawah
Jika Azizul dan DSAT Group benar-benar berminat melabur dalam bola sepak Malaysia, apa salahnya jika bermula daripada bawah bersama KL Rovers.
Benar, jika berjaya memiliki Kedah, ia akan menjadi satu pemilikan masyhur dengan tumpuan akan terarah kepada Azizul dan DSAT Group. Tetapi, jika segalanya serba tidak menjadi, pastinya Azizul dan DSAT Group akan menjadi sasaran kritikan pedas penyokong Kedah.
Azizul (kanan) dilaporkan mempunyai kewangan yang kukuh.
Tidak salah untuk Azizul bermula dengan pemilikan kelab bersama-sama KL Rovers sambil menajamkan pengetahuan terhadap bola sepak Malaysia. Jika berjaya bersama KL Rovers, barulah boleh bercita-cita memiliki kelab lebih besar saiznya dari segi sokongan dan reputasi.
KL Rovers secara tidak langsung membuka peluang buat Azizul dan DSAT Group terus kekal menjadi tumpuan dalam bola sepak mereka. Tawaran secara terbuka sudah diberi, kini tinggal masa untuk mereka menyahut cabaran tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram