INDONESIA mencuri tumpuan benua Asia apabila berjaya menewaskan Arab Saudi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Kemenangan 2-0 itu meletakkan Indonesia masih berpeluang untuk ke kejohanan terulung dunia itu apabila menduduki tempat ketiga dalam kumpulan C selepas empat perlawanan.
Melihat kepada situasi itu, jelas sekali Indonesia berada di kelas tersendiri dengan peluang untuk ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada masih menyala.
BACA LAGI: Hanya sekejap pintas Indonesia, Malaysia kembali 'tergelincir' keluar Top 130 dunia
BACA LAGI: Menang lawan Laos ketika masih ada 3 bintang JDT, Malaysia pintas Indonesia dalam ranking FIFA
Peluang Indonesia ke Piala Dunia 2026 masih belum tertutup.
Ia turut diakui pemerhati bola sepak tempatan, Hanif Miswan yang menganggap persembahan skuad Garuda kendalian Shin Tae-yong itu sebagai "mengagumkan".
"Secara keseluruhan, kita boleh kata ia persembahan mengagumkan daripada Indonesia. Semestinya mereka berdepan perlawanan-perlawanan sukar malah kalah teruk apabila berdepan Jepun, tetapi kali ini sangat berbeza.
"Mereka membuktikan jurang bola sepak Asia Tenggara dan Asia semakin rapat. Bukan setakat rapat, tapi mereka berjaya kalahkan Arab Saudi yang sering ke Piala Dunia. Saya anggap ia adalah persembahan terbaik mereka dalam kempen kelayakan ini," kata Hanif kepada Majoriti.
Sedang Hanif setuju Indonesia merapatkan jurang bola sepak Asia Tenggara dengan gergasi Asia yang lain, dia juga berpendapat darjat antara mereka dengan seteru utama iaitu Malaysia masih belum terlalu besar.
Padanya, walaupun Indonesia kelihatan berada di satu peringkat lebih tinggi berbanding Malaysia, tetapi jurang antara Harimau Malaya dengan Sang Garuda masih kecil.
Jurang Malaysia dengan Indonesia masih lagi kecil.
"Semestinya ada jurang antara Malaysia dengan Indonesia, tapi tidaklah terlalu besar. Jurang paling ketara adalah dari segi status perlawanan, kita bermain aksi persahabatan tetapi mereka bermain perlawanan kelayakan Piala Dunia.
"Jika kita bertemu mereka, Indonesia mungkin diletakkan sebagai pasukan pilihan. Tapi untuk jurang dari sudut permainan, kualiti pemain, rekod pertemuan sesama sendiri, tidak begitu besar pada saya.
"Kita masih lagi setanding mereka, cuma bezanya adalah Indonesia sudah jumpa ramuan mereka, kita masih tercari-cari ramuan untuk berjaya. Indonesia jumpa ramuan itu, mereka kekalkan, perkasakan dan tambah sikit-sikit apa yang perlu.
"Tapi bagi kita, ramuan itu tidak berapa menjadi hinggakan graf kita turun naik, sedangkan bagi Indonesia sentiasa naik. Dari sudut kualiti, bila kedua-dua negara bertemu, ada sedikit kelebihan untuk Malaysia tapi tidak terlalu jauh," jelas Hanif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram