Hanya sekejap pintas Indonesia, Malaysia kembali 'tergelincir' keluar Top 130 dunia


  • Podium
  • Rabu, 20 Nov 2024

Kedudukan Malaysia (kiri) dalam ranking FIFA kembali dipintas Indonesia (kanan).

KEDUDUKAN Malaysia dalam ranking FIFA mengalami turun naik selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada November.

Bertemu Laos dan India, Malaysia bagaimanapun tidak tewas dengan mereka apabila mencatatkan keputusan positif dalam kedua-dua aksi.

Malaysia menewaskan Laos 3-1 dalam aksi yang diadakan di Bangkok, Thailand sebelum seri 1-1 berdepan India.

BACA LAGI: Menang lawan Laos ketika masih ada 3 bintang JDT, Malaysia pintas Indonesia dalam ranking FIFA

BACA LAGI: Tak kalah jumpa Laos & India, Pau Marti yakin HM raih pengalaman berharga

GcyOUjybcAEt85y

Kedudukan semasa ranking sebelum dikemas kini secara rasmi oleh FIFA.

Hasil kemenangan bertemu Laos itu memberikan kelebihan buat Malaysia apabila mereka berjaya mendaki kedudukan 130 terbaik dunia dengan menghuni tangga ke-129.

Lebih manis, Harimau Malaya turut memintas seteru utama, Indonesia yang ketika itu tewas 0-4 kepada Jepun dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun begitu, saat bahagia datang sebentar sahaja apabila Malaysia dilihat kembali dipintas Indonesia selepas perlawanan bola sepak antarabangsa kedua mereka.

Malaysia yang seri berdepan India sekadar mengutip 3.13 mata dalam perlawanan tersebut. Jumlah itu jauh lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan Indonesia yang meraih mata lebih besar.

Indonesia yang menewaskan Arab Saudi 2-0 berjaya memperoleh jumlah mata lebih tinggi sebanyak 16.23 mata. Ia membuatkan mereka memperoleh mata keseluruhan sebanyak 1,135.10 mata berbanding Malaysia yang memperoleh 1,117.05 mata.

Kutipan mata itu membolehkan Indonesia melonjak tiga anak tangga ke kedudukan 127 sementara Malaysia tergelincir keluar daripada kedudukan 130 terbaik dunia dengan menghuni nombor 131.

Faktor status perlawanan turut memainkan peranan dalam kutipan mata. Indonesia memperoleh mata lebih banyak kerana beraksi dalam kelayakan Piala Dunia sementara Malaysia bermain dalam perlawanan persahabatan.

Ditambah dengan menewaskan Arab Saudi yang berada di kedudukan jauh lebih tinggi berbanding Indonesia, ia jelas memberikan mata lebih tinggi buat Sang Garuda sekali gus memintas Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram