SEJAK Isnin lalu, penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC dihidangkan berita gembira apabila dikatakan skuad Sang Kenari berpotensi mendapat nafas baharu apabila ada entiti yang menawarkan diri untuk mengambil alih pengurusan kelab tersebut.
DSAT Group Sdn Bhd mengatakan hasrat pada Isnin untuk mengambil alih Kedah daripada pemilikan Tan Sri Dr Daud Bakar sekali gus menawarkan jalan keluar kepada kemelut masalah Sang Kenari.
Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek sebelumnya sudah bertemu Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah, Radhi Mat Din dan merancang bertemu Daud dalam pertemuan seterusnya sebagai bukti mereka serius mahu mengambil alih Sang Kenari.
BACA LAGI: 'Semoga dimudahkan urusan', kepak Kenari beri DSAT Group 'lampu hijau' ambil alih Kedah
Melihat kepada seriusnya DSAT Group dalam mengambil alih Kedah, ia jelas menimbulkan rasa teruja dalam kalangan penyokong Sang Kenari susulan talian hayat tersebut akan membantu menyelesaikan gaji pemain.
Pandangan serupa dikongsi oleh pemerhati bola sepak tempatan, Zulakbal Abd Karim yang menyatakan bahawa perkara pertama DSAT Group perlu lakukan sekiranya mengambil Kedah adalah menyelesaikan gaji tertunggak pemain.
Zulakbal berkata, DSAT Group perlu berani menanggung semua liabiliti pasukan Utara tanah air berkenaan termasuk gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Azizul (kanan) serius dalam misi mendapatkan Kedah.
"Saya fikir bakal pemilik baru boleh menyelesaikan hutang-hutang gaji pemain termasuk KWSP dan SOCSO. Selesaikan perkara itu dulu, kebajikan pemain diutamakan. Semua ini akan jadi syarat kalau nak ambil Kedah.
"Jangan nak ambil sebab nak glamour sahaja tapi perlu fikir akan dapat dengan liabiliti. Pengurusan Kedah pun perlu beritahu yang mengambil Kedah bersyarat iaitu perlu selesaikan semua hutang-hutang sebelum-sebelum ini.
"Selepas selesai semua isu kebajikan pemain, baru boleh seat down dengan bahagian teknikal Kedah dan bincang mengenai hala tuju pada tahun depan, tiga tahun seterusnya dan lima tahun seterusnya," katanya kepada Majoriti.
DSAT Group mahu mengambil alih Kedah daripada pemilikan Daud. — Facebook/KDAFC
Mengulas lanjut, Zulakbal juga menasihati pihak pengurusan Kedah agar tidak terlalu memikirkan hala tuju baharu sekiranya DSAT Group akan mengambil alih skuad Sang Kenari selepas ini.
"Orang di kem Kedah ini mereka tengah macam orang nak lemas dalam sungai. Biasanya kalau tengah timbul di atas laut, dia tidak fikir dah apa yang di depan. Tak kisah kayu pun, mereka akan gunakan untuk bertahan.
"Keadaan di Kedah pun sama. Mereka tidak usah lagi fikir apa hala tuju lepas ini. Apa yang penting adalah menyelesaikan masalah gaji yang sudah berbulan-bulan tertangguh," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram