Kim Swee sah tinggalkan Sabah, kuatkan spekulasi kembali ke Kelana Jaya ikut Nafuzi


  • Podium
  • Khamis, 21 Nov 2024

Kim Swee disebut-sebut akan mengendalikan kelab di Semenanjung Malaysia.

SELEPAS pelbagai spekulasi berlegar-legar mengenai masa depannya, akhirnya Datuk Ong Kim Swee mengesahkan yang dia tidak lagi bersama Sabah FC.

Menerusi siaran di media sosialnya, Kim Swee meninggalkan kelab Borneo itu selepas tiga tahun bersama kelab itu. Menurutnya, perlawanan terakhir yang akan dikendalikannya adalah aksi Piala Malaysia berdepan PT Athletics pada Sabtu.

Sebelum ini, khabar angin mengenai masa depan Kim Swee di Sabah menjadi tumpuan walaupun kelab itu pada mulanya mengumumkan bekas pengendali Harimau Malaya itu akan terus kekal bersama.

BACA LAGI: Jadi calon jurulatih skuad Harimau Muda, Nafuzi Zain semakin hampir tinggalkan Darul Aman

BACA LAGI: Tak belajar daripada kesilapan, imbau semula 3 kes sama sebelum kontroversi rasis Tommy Mawat

"Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024. Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.

"Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini," kata Kim Swee dalam kenyataan dikeluarkannya pada Khamis.

Gc4AqfeaAAANHDS

Kim Swee mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah.

Pemergiannya itu pastinya menjadi kehilangan besar buat para penyokong Sabah yang menganggap Kim Swee adalah jurulatih berkaliber serta membantu kelab tersebut berdaya saing dalam Liga Super.

Malah, Kim Swee turut berjaya meningkatkan tahap Sabah itu sendiri dengan membawa kelab Borneo tersebut berjaya sampai ke Piala AFC.

Dengan pemergian Kim Swee dari Sabah, ia menguatkan spekulasi yang mengatakan Kim Swee akan kembali semula ke Semenanjung Malaysia dengan Kelana Jaya menjadi destinasi berpotensi untuk menyambut kehadirannya.

Kim Swee disebut-sebut bersama Nafuzi Zain akan menyertai semula skuad kebangsaan dalam revolusi Harimau Malaya yang hangat dicanang ketika ini.

Namun begitu, bayangan peranan yang bakal dipikul oleh Kim Swee masih belum diketahui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram