KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal kehilangan khidmat jurulatihnya selepas Nafuzi Zain dikhabarkan akan meninggalkan pasukan berkenaan selepas dikhabarkan menerima lamaran dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Khabar angin berkenaan mula menjadi buah mulut penyokong selepas pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi mengenai perkembangan terkini mengenai pengendali Sang Kenari itu pada laman X miliknya.
"Nafuzi Zain bakal tinggalkan Kedah Darul Aman, difahamkan menjadi calon jurulatih B23 (Bawah-23 tahun) negara," kata memetik ciapan pada Rabu.
BACA LAGI: Nafuzi akui anak buah tak cergas, punca Kedah longlai bertemu Selangor
BACA LAGI: Nidzam Jamil ikut langkah Nafuzi, 2 coach Liga Super termasuk JDT tinggalkan kelab sedang cemerlang
Ciapan berkenaan seolah-olah selari dengan khabar angin yang tular pada Selasa iaitu seorang jurulatih terkemuka sebuah pasukan Liga Super bakal ucap selamat tinggal tidak lama lagi.
Dengan keadaan Sang Kenari yang kini masih tidak menemui jalan penyelesaian mutlak berhubung masalah kewangan mereka, kebarangkalian menyaksikan Nafuzi memilih untuk mengundur diri akan berlaku pada bila-bila masa.
Masakan tidak, sejak pertengah musim lepas Kedah masih tidak menemui sumber kewangan yang kukuh sehingga menyaksikan ada pemain Sang Kenari memilih untuk memboikot sesi latihan sebagai tanda protes.
Oleh itu, mendapat tawaran berkhidmat bersama pasukan kebangsaan boleh menjadi jalan keluar buat karier Nafuzi. Jurulatij kelahiran Kelantan berkenaan juga dijangka akan memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara.
Nafuzi meninggalkan skuad Sang Penyu berikutan krisis pengurusan. — Facebook/TFC
Sejak bersama Terengganu pada musim 2019- 2022 dan menyertai Kedah pada tahun 2023, pengendali berusia 46 tahun itu dikenali sebagai seorang jurulatih yang gemar memberi peluang kepada pemain muda.
Nama pemain seperti Faisal Halim, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan dan banyak lagi anak didiknya menjadi antara pemain yang sering mendapat peluang dalam pasukan kebangsaan dan kelab masing-masing.
Antara momen terbaik karier Nafuzi sebagai jurulatih apabila membimbing Terengganu FC (TFC) hingga membawa pasukan Pantai Timur berkenaan muncul naib juara Liga Super dan Piala FA 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram