INSIDEN kontroversi antara pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada dan penyerang sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi nampaknya masih menjadi topik utama penyokong bola sepak tanah air untuk berbahas mengenainya.
Pada aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad, insiden tegang berlaku melibatkan Arif Aiman dan Tommy sehingga kedua-duanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.
Susulan itu, Arif Aiman dan Tommy tetap boleh dikenakan hukuman atau tindakan lanjut biarpun mereka hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari Selatan ke Utara, tekong berbisa negara hargai keberanian, kepercayaan Perak Bison
BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC
Berikutan kejadian itu, pertahanan Perak FC tersebut tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila menjadi mangsa berbaur perkauman daripada seorang peminat di media sosial.
Menurut Tommy, kejadian yang berlaku di laman JDT itu tidak menggambarkan kaumnya dan ia bukan tiket untuk para penyokong memberi kritikan sehingga menyentuh isu peribadi pemain bola sepak.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa isu yang berbaur perkauman bukanlah perkara baharu dalam Liga Malaysia.
Hal ini kerana, terdapat tiga kes perkauman sebelum ini yang pernah menjadi topik hangat penyokong tanah air.
Bekas pertahanan import Terengganu FC, Pape Diakite.
1. Pape Diakite (Terengganu FC )
Bekas pertahanan import Terengganu FC, Pape Diakite antara pemain yang pernah menjadi mangsa isu perkauman oleh penyokong tanah air.
Pemain kelahiran Senegal itu dihina dengan kata-kata 'Negro bodoh' oleh segelintir penyokong Melaka United FC.
Kejadian itu berlaku dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat pada 7 Oktober 2021 yang berkesudahan memihak kepada TFC dengan kemenangan 4-2.
Menurut Diakite, kejadian itu berlaku pada babak kedua yang mana dia dan pengadil perlawanan mendengar perkataan tersebut namun pengadil tidak mengambil tindakan lanjut.
Susulan insiden memalukan itu, pihak pengurusan Melaka United lantas mengeluarkan kenyataan maaf di atas kelakuan tersebut, lebih-lebih lagi kepada pemain kelahiran Senegal itu.
Dia yang menyertai Terengganu dari Vietnam adalah antara tonggak utama skuad Penyu di bawah kendalian bekas jurulatih, Nafuzi Zain dengan berjaya membantu Sang Penyu muncul naib juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super sekali gus layak ke Piala AFC musim 2023/2024.
Begitupun, Diakite terpaksa akur apabila kontraknya bersama Sang Penyu tidak disambung dan terpaksa meninggalkan pasukan itu pada penhujung 2022.
Kini, pemain berketinggian 1.94 meter itu beraksi bersama salah sebuah kelab di Liga India, Calicut FC.
Prabakaran (kanan) ketika ini beraksi untuk kelab Liga A1 Semi-Pro bersama Bunga Raya.
2. Prabakaran (Selangor FC)
Masihkah anda ingat bekas bek kiri Selangor FC, K.Prabakaran yang pernah menjadi mangsa komen berbaur perkauman oleh segelintir penyokong di laman sosial Facebook.
Kejadian yang berlaku pada musim 2020 itu dianggap serius apabila pengendali Gergasi Merah ketika itu, mendiang B.Satianathan memutuskan untuk memuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berikutan insiden tersebut.
Menurutnya ketika itu, pihaknya berang dengan kritikan serta komen daripada sesetengah peminat yang berbaur perkauman ditujukan kepada dirinya dan pemain berbangsa India dalam pasukan seperti Prabakaran.
Kritikan serta cacian tersebut dilontarkan setelah Selangor meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu pasukan Perak FC aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.
Prabakaran ketika ini beraksi untuk kelab Liga A1 Semi-Pro bersama Bunga Raya.
Stewart (dua kiri) beraksi selama empat musim bersama Pahang sebelum berhijrah ke kelab negaranya, Harbour View FC pada 2016. — The Star
3. Damien Stewart (Sri Pahang FC)
Kira-kira 10 tahun lepas, pemain pertahanan Pahang, Damion Stewart yang ditandatangani pada 2013 itu didakwa menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman dari dua bintang Johor Darul Takzim (JDT), Pablo Aimar dan Luciano Figueroa dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur pada 7 Februari 2014, Figrueroa dan Aimar didakwa menggunakan kata-kata penghinaan terhadap Stewart termasuk memanggilnya 'monkey' dan 'negro'.
Ketika itu, pemain kelahiran Jamaica itu diganggu sepanjang perlawanan oleh dua tonggak kelahiran Argentina berkenaan dan rakan sepasukannya di Pakistan, Zesh Rehman menjadi saksi utama dalam kes tersebut.
Meskipun diejek oleh bintang Harimau Selatan itu, Stewart bersikap tenang dan tidak bertindak balas dengan marah semasa perlawanan tersebut.
Meskipun Pahang FA melaporkan isu berkenaan kepada FAM namun dua pemain JDT yang didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan berunsur perkauman semasa menentang Tok Gajah itu akhirnya dibebaskan daripada sebarang pertuduhan kerana tidak mempunyai bukti mencukupi.
Melihat kepada maklumat di Transfermarkt, kali terakhir Stewart beraksi untuk Pahang adalah pada 2015 sebelum memilih untuk menamatkan kariernya dua tahun kemudian ketika bersama sebuah lagi kelab tempatan, Perlis FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram