
MESKIPUN kini berada di kedudukan tercorot Kumpulan B Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Palestin masih memberikan saingan dari perlawanan ke perlawanan yang lain.
Ini dibuktikan apabila pasukan Timur Tengah itu mengikat pendahulu kumpulan, Korea Selatan dalam aksi keenam yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan pada Selasa lalu.
Perlawanan itu menyaksikan pengendali Palestin, Makram Daboub menurunkan pasukan terbaik dengan tonggak Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Oday Kharoub antara nama yang diletakkan dalam kesebelasan utama.
BACA LAGI: Impian Selangor mahu rekrut import Palestin punah, Oday Kharoub tak dapat restu presiden
BACA LAGI: Bantu Palestin layak 'round of 16' Piala Asia 2023, KUFC sambar Oday Kharoub
Son kagum dengan kesungguhan pemain Palestin yang berjaya mengikat perlawanan itu. — Agensi
Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil bagi negara di kedudukan ke-100 dunia itu yang menampilkan persembahan terbaik dengan serangan demi serangan berjaya dilancarkan.
Malah, dalam pertembungan itu, Palestin berjaya mendapatkan gol terlebih dahulu menerusi Zaid Qunbar pada minit ke-12 sebelum diikat wakil Asia Barat itu menerusi jaringan kapten mereka, Son Heung-min.
Keputusan berkenaan tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan dalam kumpulan, namun Korea Selatan pasti berpuas hati kerana rekod tanpa kalah mereka masih tidak lebur setakat ini.
Namun, persembahan Palestin wajar diberikan pujian dengan Son sendiri mengakui rakan sepasukannya perlu mencontohi semangat juang ditonjolkan pihak lawan yang sedang berdepan konflik di luar padang.
"Saya mahu memuji mereka. Saya rasa mereka sudah melakukan persiapan terbaik meskipun menghadapi situasi sukar dengan setiap perancangan dapat dilaksanakan sebaiknya.
Kharoub merupakan antara pemain yang diturunkan ketika berdepan Korea Selatan. — Agensi
"Ia merupakan sesuatu yang boleh kita pelajari daripada mereka. Saya juga kecewa kerana tidak dapat meraih kemenangan selain berharap dapat memberi persembahan lebih baik selepas ini," katanya.
Penyerang merangkap kapten Tottenham Hotspur itu mengikat kedudukan selepas menyudahkan peluang dihidangkan rakan sepasukan, Kim Min-jae untuk memastikan satu mata diraih.
Skuad kendalian Hong Myung-bo itu akan berdepan Oman di laman sendiri pada 20 Mac tahun depan dengan kemenangan mampu mengesahkan tiket mereka ke Piala Dunia akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram