PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghantar dua pesawat khas ke Amsterdam untuk membawa pulang rakyat Israel selepas kejadian serangan anti-Semitik yang berlaku di ibu kota Belanda itu pada Khamis.
Kejadian itu berlaku susulan perlawanan bola sepak antara pasukan Israel, Maccabi Tel Aviv, dan pasukan tuan rumah, Ajax, dalam saingan Liga Europa.
Difahamkan, penyokong dari Israel berada di Amsterdam untuk menyaksikan perlawanan Liga Europa tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
Susulan daripada kejadian itu, polis Belanda melaporkan lima orang cedera dan 62 orang ditahan selepas penyokong Israel menjadi sasaran serangan, sebelum dan selepas perlawanan tersebut.
“I kill you motherfucker here we are not in Palestine!”
I saw a video today of Israeli fans in Amsterdam, in town for a football match, getting a stark reminder of the reality beyond the stadium. People here were unapologetically direct about where they stand on Israel’s role... pic.twitter.com/hDWR9AO6LT
— Alexanderthegreat (@AlexKuhuwael) November 7, 2024
Serangan tersebut turut disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai anti-Semitik, dengan perusuh didakwa 'secara aktif mencari' penyokong Israel untuk diserang.
Polis turut mengesahkan terdapat insiden keganasan di beberapa lokasi di Amsterdam, termasuk di Johan Cruyff Arena dan dataran Anton de Komplein yang berhampiran stadium.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, menyifatkan kejadian itu 'tidak boleh diterima' dan 'anti-Semitik'.
Beliau turut mengesahkan langkah keselamatan telah diambil untuk mengawal keadaan dan menegaskan semua pelaku akan dihadapkan ke muka pengadilan.
Sementara itu, Netanyahu dalam kenyataannya pada Jumaat menyatakan keprihatinan terhadap keselamatan komuniti Yahudi di Belanda dan mengumumkan akan menghantar pesawat ke Belanda, termasuk pesawat perubatan dan penyelamat.
Beliau juga menyeru agar keselamatan komuniti Yahudi di Belanda ditingkatkan dan agar kerajaan Belanda mengambil tindakan pantas terhadap pelaku keganasan tersebut.
Pemimpin Zionis itu juga meminta agar kerajaan Belanda mengambil tindakan tegas terhadap pelaku serangan dan berjanji akan terus melindungi rakyat Israel di luar negara.
Netanyahu turut berbincang dengan Schoof mengenai langkah keselamatan tambahan yang perlu diambil bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.
POLIS Belanda berkawal selepas beberapa pergaduhan tercetus di pusat bandar Amsterdam selepas perlawanan bola sepak pada Khamis. – AFP
Dalam pada itu, jurucakap Tentera Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, menyifatkan tindakan menghantar pesawat penyelamat ke Belanda sebagai 'tanggungjawab bersejarah' untuk melindungi rakyat Israel.
Syarikat penerbangan Israel, El Al, juga menawarkan dua penerbangan percuma untuk membantu membawa pulang rakyat Israel yang berada di Amsterdam.
Melalui video yang tular di media sosial menunjukkan suasana tegang di sekitar Amsterdam, dengan insiden keganasan yang melibatkan beberapa kumpulan penyerang.
Dalam satu video, seorang individu dilihat diserang oleh sekumpulan perusuh di tengah jalan.
Sementara itu, Presiden Israel, Isaac Herzog, menyifatkan kejadian itu sebagai 'pogrom anti-Semitik' dan menyeru agar kejadian itu tidak berulang.
Polis Belanda melaporkan bahawa 62 orang telah ditahan berhubung dengan serangan tersebut, kebanyakannya di Johan Cruyff Arena di mana perlawanan bola sepak itu diadakan.
Mereka menambah bahawa sepuluh tangkapan dilakukan sebelum perlawanan bermula, apabila ratusan penyokong Maccabi berkumpul di pusat Amsterdam pada awal pagi Khamis.
Seramai 30 orang lagi ditangkap di dataran Anton de Komplein, berhampiran stadium bola sepak, di mana orang ramai mengadakan protes terhadap kedatangan kelab bola sepak Israel dan bertembung dengan polis.
Datuk Bandar Amsterdam, Femke Halsema, sebelum ini telah mengharamkan protes pro-Palestin diadakan berhampiran stadium kerana bimbang pertembungan akan berlaku antara penunjuk perasaan dan penyokong kelab bola sepak Israel.
Wakil khas Amerika Syarikat (AS) mengenai anti-Semitisme, Deborah Lipstadt, berkata beliau terganggu dengan tempoh masa serangan berlangsung dan menggesa kerajaan Belanda untuk menjalankan siasatan menyeluruh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram