[VIDEO] Arif Aiman-Tommy bukan paling teruk, FAM pernah gantung lebih lama 3 pemain termasuk Ronaldinho


  • Podium
  • Rabu, 20 Nov 2024

Arif Aiman (kiri) dan Tommy Mawat terlibat dalam pergaduhan ketika aksi Liga Super pada 10 November lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi membuktikan ketegasan mereka menangani isu disiplin dalam arena bola sepak tanah air selepas bertindak mengenakan tindakan keras ke atas dua pemain iaitu Tommy Mawat Bada dan Arif Aiman Hanapi.

Hukuman tersebut diberikan selepas kedua-dua mereka terlibat dalam pertelingkahan semasa aksi Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 10 November lalu.

Meskipun sesetengah pihak bertindak menuding jari atas pemain yang memulakan kekecohan tersebut, badan induk bola sepak negara berkenaan tidak berkompromi apabila mengambil tindakan seadilnya.

BACA LAGI: 'Bagus juga apa yang berlaku', Safee Sali mahu penggantungan Faisal Halim jadi pengajaran

BACA LAGI: Kenny Pallraj berdepan penggantungan, denda

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan, Arif Aiman dan Tommy Mawat tidak akan dapat diturunkan dalam tiga aksi seterusnya, termasuk dalam saingan Piala Malaysia selain diberikan amaran.

Tindakan dikenakan itu menimbulkan perspektif negatif kerana sesetengah penyokong berasakan hukuman FAM itu adalah terlalu berat sekiranya hendak dibandingkan dengan insiden lain sebelum ini.

Namun, sekiranya perbandingan dilakukan, penggantungan dialami mereka tidaklah begitu keterlaluan kerana pada tahun-tahun kebelakangan ini, tiga pemain lain pernah berdepan situasi lebih teruk.

1. Yazan Al-Arab

Sebelum bersinar di Korea Selatan bersama Seoul FC, Yazan Al-Arab pernah menghabiskan masa kira-kira dua musim bersama skuad Gergasi Merah dengan kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2022 merupakan pencapaian terbaiknya.

Bagaimanapun, tempohnya bersama Selangor FC tidak berakhir dengan baik kerana dia terpaksa meninggalkan kelab itu berikutan penggantungan seumur hidup dikenakan FAM terhadapnya.

Tindakan itu berpunca daripada kelakuan kasar yang dibuat terhadap pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Amir usai aksi suku akhir Piala Malaysia 2023 antara pasukannya dengan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Selangor.

Dia yang didapati menendang pegawai berkenaan diberikan hukuman tersebut selepas satu mesyuarat diadakan, sekali gus menyaksikannya terpaksa meninggalkan arena bola sepak tanah air.

Yazan bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan mengenai perkara itu apabila memilih untuk beraksi sekitar Timur Tengah sebelum berhijrah ke Korea Selatan awal tahun ini.

Bek tengah tersebut kini menjadi tonggak pertahanan pasukannya yang memburu tiket ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim depan dengan mereka dalam landasan tepat untuk merealisasikan hasrat itu.

2. Patrick Ronaldinho Wleh

Bekas penyerang kebangsaan Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh boleh dikatakan sebagai antara peledak terbaik import pernah disaksikan dalam Liga Super dengan lima kelab sempat menyaksikan keunggulannya.

Namun, di sebalik keunggulannya di atas padang, pemain itu tidak pernah lari daripada kontroversi kerana pada 2015, dia pernah dikenakan hukuman berat daripada FAM.

Tindakan berbentuk penggantungan enam bulan tersebut diberikan selepas import itu melakukan kekasaran terhadap pengadil semasa aksi Piala FA antara PKNS FC dan JDT II di Stadium Pasir Gudang, Johor.

06Patrick_Ronaldinho_Wleh_cropped.transformed

Patrick Ronaldinho (kanan) merupakan penyerang dengan pelbagai karakter tersendiri.

Patrick Ronaldinho didapati bersalah dan digantung mengikut peruntukan di bawah Artikel 51.1 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan.

Hukuman terbabit tidak menjejaskan kariernya dalam Liga Super kerana selepas itu, dia kekal di kelab Lembah Klang tersebut sehingga 2017, termasuk sempat menghabiskan tempoh semusim secara pinjaman di Selangor FC.

Kini, pemain itu difahamkan tidak lagi terikat buat mana-mana pasukan Liga Super sejak empat tahun lalu meskipun tidak pernah membuat kenyataan menamatkan kariernya.

3. Paulo Rangel

Seperti Patrick Ronaldinho, Paulo Rangel yang juga merupakan penyerang kelahiran Brazil, pernah membuktikan sentuhannya bersama beberapa kelab Liga Super sepanjang kariernya.

Kemuncak permainannya dalam arena bola sepak tanah air boleh dikatakan ketika pemain itu beraksi buat Terengganu FC yang merupakan pasukan ketiga disertainya.

Bagaimanapun, penyerang itu juga tidak lari daripada isu disiplin dengan kekasaran terhadap pengadil ketika aksi Piala FA 2015 menentang pasukan Singapura, LionsXII merupakan kes paling diingati dalam kalangan penyokong.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu, Rangel dikesan melakukan kekasaran terhadap pegawai berikutan keputusan mereka membatalkan jaringan skuad Sang Penyu.

Dia yang menjaringkan dua gol dalam pertembungan itu gagal menahan emosi membuat bantahan secara kasar dengan beberapa pemain Terengganu lain juga mengerumuni pengadil.

Selepas penilaian dibuat pihak FAM, Paulo kemudiannya dikenakan penggantungan selama enam bulan kerana melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram