Berhabis RM3.4 bilion buat Erik ten Hag, Ruben Amorim sebaliknya dapat bajet lebih 'ciput' oleh Man United


  • Podium
  • Selasa, 19 Nov 2024

Amorim sudah mula mengendalikan sesi latihan United pada Isnin.

RUBEN Amorim tidak berpeluang untuk berbelanja sakan dalam pasaran perpindahan pemain sebaliknya beliau ditugaskan untuk menggunakan sepenuhnya bakat pemain dalam skuad Manchester United yang beraksi di bawah tahap sebenar.

Pengendali terdahulu, Erik ten Hag berbelanja £600 juta (RM3.4 bilion) namun INEOS cuba mengehadkan perbelanjaan di Old Trafford, jadi tidak ada kemungkinan untuk merombak skuad semasa secara besar-besaran selepas terkini berbelanja lebih £200 juta (RM1.13 bilion).

Amorim tiba sebagai 'ketua jurulatih', yang pertama dalam sejarah United dan ia sebahagian daripada rombakan semula struktur diketuai CEO, Omar Berrada, pengarah bola sepak, Dan Ashworth dan pengarah teknikal, Jason Wilcox.

BACA LAGI: FAM gantung Arif Aiman, Tommy Mawat 3 perlawanan Liga Malaysia

BACA LAGI: 'Gaji tak ada, lencana pun hilang', fans sambut baik cadangan ex Penang FC tinggalkan karier bola sepak

Ketika beliau dijangka berpeluang membawa masuk pemainnya sendiri, pihak pengurusan United percaya pemain di kelab itu sepatutnya mampu beraksi lebih baik berbanding apa yang mereka pamerkan setakat ini.

Ada juga harapan pemain senior dalam skuad boleh bertindak lebih bagus dengan idea segar kejurulatihan Amorim selain peranan yang akan diubah dalam satu sistem baharu.

Manuel Ugarte, yang mana United berbelanja £50.8 juta (RM288 juta) pada musim panas lalu, beraksi di bawah kendalian Amorim di Sporting sebelum ini, manakala pemain remaja Leny Yoro, yang dibeli dengan harga £52 juta (RM294 juta), dilihat sebagai pemain berpotensi tinggi selepas hadir susulan minat ditunjukkan oleh Real Madrid dan Liverpool.

Mason Mount, diikat dengan harga £55 juta (RM311 juta) dan Rasmus Hojlund, dibeli dengan harga £72 juta (RM408 juta), turut dikenal pasti sebagai pemain yang boleh diasuh Amorim hingga ke tahap sebenar.

Tahun 2024 merupakan musim pergolakan United dengan perubahan besar dalam hirarki selepas pengambilalihan minoriti £1.3 bilion (RM7.36 bilion) oleh Jim Ratcliffe, pemecatan Ten Hag serta staf kejurulatihannya.

Amorim mengendalikan sesi latihan buat kali pertama pada Isnin (18 November) dengan Kobbie Mainoo, yang tidak beraksi sejak United seri 0-0 dengan Aston Villa pada awal Oktober, turut berlatih.

Jurulatih dari Portugal itu akan mengendalikan perlawanan pertamanya sebagai bos United Ahad ini di Ipswich Town. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram