PERLAWANAN persahabatan antarabangsa Harimau Malaya bulan ini ditutup dengan keputusan seri 1-1 menentang India dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India pada Isnin.
Aksi kedua selepas kemenangan 3-1 ke atas Laos ini menyaksikan pengendali interim Malaysia, Pau Marti Vicente membuat tujuh pertukaran pemain dengan hanya mengekalkan Syihan Hazmi, Dion Cools, Nooa Laine dan Paulo Josue sebagai kesebelasan utama.
Meskipun turun tanpa tonggak penting di separuh masa pertama namun Harimau Malaya berhasil mendahului perlawanan menerusi jaringan dari Paulo Josue pada minit ke-19 permainan.
BACA LAGI: SNBJ venue rasmi Harimau Malaya bagi Piala AFF 2024
BACA LAGI: Sebelum Indonesia, Harimau Malaya juga pernah bolos '4 biji' dengan Jepun
Kegembiraan Malaysia tidak bertahana lama apabila skuad bimbingan Manolo Marquez berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi pemain pertahanan, Rahul Bheke hasil sepakan penjuru.
Meskipun diakhiri dengan keputusan seri 1-1 namun banyak perkara positif boleh diperolehi daripada perlawanan berkenaan dan antaranya ialah peningkatan skil barisan pemain muda.
Tiga pemain yang menarik perhatian penyokong bola sepak tanah air ialah Fazrul Amir di bahagian kiri, Haqimi Azim sebagai pemain sayap kanan dan Fergus Tierney bergerak sebagai penyerang tengah.
"Saya suka dengan muka baru barisan pemain Pau Marti. Fazrul dan Haqimi main kiri dan kanan. Fergus masuk separuh masa kedua pun padu. Cuma masih takut-takut nak pegang bola lama," kata penyokong Harimau Malaya, Ahmad Johan.
"Syukur dengan keputusan perlawanan. Positifnya pemain muda semua boleh main. Malam ini saya jadi peminat Fazrul Amir, berdesup dia lari walaupun kecil-kecil," tambah penyokong domestik, Suheimi Ismail.
"Fergus masuk baru nampak bahaya. Paulo Josue dah boleh main liga veteran," ujar penyokong bola sepak tanah air, Muhammad Fitri.
Kesebelasan utama Malaysia menentang India pada Isnin. — Facebook/FAM
Tiga pemain muda berkenaan diyakini mampu menjadi taruhan Pau Marti di bahagian serangan sewaktu kejohanan Piala Asean atau lebih dikenali sebagai Piala AFF pada 8 Disember hingga 5 Januari depan.
Malaysia terlepas khidmat pemain utama dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor susulan komitmen dalam saingan di pentas Asia iaitu Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan ACL2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram