BEKAS pemain Penang FC, Fauzan Dzulkifli menasihatkan para pemain mencari kerjaya lain di luar industri bola sepak selepas masalah gaji dalam Liga Malaysia yang dilihat tidak akan berakhir baik.
Masalah ini berlarutan di peringkat profesional atau semi-pro serta amatur sehinggakan ada pasukan yang tidak mampu menurunkan 11 pemain dalam kesebelasan utama untuk memulakan perlawanan.
Baru-baru ini, kelab berpangkalan di Selangor, PIB Shah Alam mencuri tumpuan apabila mereka turun dalam aksi Liga A1 Semi-Pro bertemu Manjung City pada Sabtu lalu.
BACA LAGI: FAM gantung Arif Aiman, Tommy Mawat 3 perlawanan Liga Malaysia
BACA LAGI: SNBJ venue rasmi Harimau Malaya bagi Piala AFF 2024
PIB berjaya mencuri tumpuan apabila turun dengan sembilan pemain bertemu Manjung kerana isu kewangan dialami mereka ketika ini.
Situasi sukar itu mendapat tumpuan Fauzan yang menasihatkan para pemain mencari kerjaya lain di luar industri bola sepak.
"Buat kawan-kawan yang masih aktif dan mengharapkan bola sepak ini adalah punca pendapatan utama, boleh lupakan. Carilah kerja yang lebih menjamin pendapatan keluarga dan masa depan.
"Bola sepak sekarang bukan macam dulu. Kita ada keluarga yang perlu ditanggung. Ada komitmen perlu dibayar. Bukan bermain secara suka-suka tanpa dibayar gaji.
"Kasihan pada pemain yang enam, tujuh bulan tidak dibayar gaji. Masih ada lagi ke hati untuk main?," tanya Fauzan di dalam Facebook.
Dia turut mengingatkan agar pemain menolak ke tepi semangat kenegerian dan mengutamakan keluarga dalam mencari rezeki.
"Jangan cerita pasal semangat kenegerian kalau anak, isteri di rumah tak boleh diberi nafkah. Fikirkanlah diri sendiri dan keluarga dulu baru orang lain."
Nasihat diberikan oleh bekas pemain PKNS FC dan Penang itu menerima reaksi positif daripada penyokong selepas melihat situasi semasa kancah liga bola sepak Malaysia yang semakin kritikal tentang isu pembayaran gaji.
Rata-rata penyokong berpendapat lebih baik bermain bola sebagai hobi tetapi mempunyai pekerjaan yang mampu menjamin gaji setiap bulan.
"Setuju boss, gaji tak ada macam mana nak bagi anak isteri makan," kata Aizuddin Nawari.
"MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) hancurkan bola sepak Malaysia, sebulan hanya ada dua atau tiga perlawanan sahaja, macam mana kelab nak dapat duit? Ibarat sebulan pemain bekerja hanya dua hari selebihnya latihan," jelas Wan Suhaimi.
"Bola sepak dulu tak sama macam sekarang, inilah realitinya. Lawan Laos pun tersedak, lawan India pun 1-1 sahaja," luah Hazriq Eriq.
"Gaji tak ada, lencana pun hilang. Sampaikan nak beli lencana anak sekolah pun tak boleh," ujar Rizal Fahmi.
Fauzan kini sudah bersara dan menjadi pegawai takaful. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram