PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman buat dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan Perak FC, Tommy Mawat Bada susulan insiden pergaduhan yang berlaku dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan pada Selasa (19 November) berkata, Arif Aiman dan Tommy Mawat telah dikenakan penggantungan tiga perlawanan melibatkan saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2024.
Kedua-dua pemain ini juga diberikan amaran keras oleh FAM jika mengulangi kesalahan yang sama.
BACA LAGI: SNBJ venue rasmi Harimau Malaya bagi Piala AFF 2024
"Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mencapai keputusan-keputusan berikut mengenai kes tatatertib membabitkan insiden yang berlaku ketika perlawanan Liga Super 2024-2025, Perak FC lawan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 November 2024.
"Pemain Johor Darul Ta'zim - Arif Aiman Mohd Hanapi.
"Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada pada perlawanan tersebut.
"Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember 2024.
"Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," katanya.
Manakala hukuman yang sama juga turut dijatuhkan oleh FAM terhadap Tommy Mawat selepas didapati mencengkam leher sebelah kiri Arif Aiman pada perlawanan tersebut.
"Pemain Perak FC - Tommy Mawat Bada.
"Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Mohd Hanapi pada perlawanan tersebut.
"Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November 2024 serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember 2024.
"Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," jelasnya.
Hukuman ini sekali gus melarang Arif Aiman dan Tommy Mawat daripada beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia yang dijadualkan pada minggu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram