SEBELUM perlawanan Malaysia meraih keputusan seri 1-1 menentang India di Stadium Gachibowli dekat Hyderabad, India pada Isnin, kem Harimau Malaya terpalit dengan isu kontroversi susulan kehilangan tiga tonggak utama mereka.
Pemain terbabit ialah Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies selepas majikan mereka, Johor Darul Ta'zim (JDT) membuat keputusan untuk memanggil semula untuk pulang kem Harimau Selatan.
Harimau Selatan menjelaskan bahawa perlepasan awak dibuat terhadap tiga pemain berkenaan disebabkan perancangan perjalanan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shandong Taishan.
BACA LAGI: Campuran bintang Latin, bekas bek K-League sesuai dengan cadangan Alistair Edwards
BACA LAGI: Pampasan Akhyar Rashid, Kedah nafi dakwaan Alistair Edwards
Walaupun isu berkenaan sudah berlaku dan skuad kendalian Pau Marti Vicente juga telah selesai dengan perlawanan menentang India, namun masih ada yang berbahas mengenai tindakan juara bertahan Liga Super itu.
Perbincangan itu memasuki episod baharu selepas seorang pengguna media sosial iaitu Otai Sukan mengimbau kembali insiden malang yang pernah menimpa Selangor pada 16 tahun lalu selepas membuat perkara sama seperti JDT.
Memetik laporan yang dibuat laman penyokong itu, Gergasi Merah didenda RM20,000 dan dipotong tiga mata susulan insiden empat pemain meninggalkan program kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 26 Mac 2008.
Empat pemain itu ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Amirul Hadi Zainal dan Safee Sali. Keempat-empat mereka meninggalkan program tersebut setelash dipanggil pulang ke Selangor untuk membantu persiapan mengharungi saingan Piala FA.
JDT akan bersaing dalam kempen ACL Elite beberapa hari selepas pemain negara pulang daripada tugasan antarabangsa. — Facebook/JDT
Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diketuai Tan Sri Aseh Che Mat ketika itu, memutuskan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersalah kerana memanggil pulang pemain tanpa kebenaran dan menjatuhkan hukuman itu.
Selain itu, Dollah Salleh yang mempertahankan empat tonggaknya itu juga didenda RM10,000 manakala masing-masing pemain itu didenda RM1000 dan menjadikan jumlah keseluruhan RM34,000.
FAM ketika itu menegaskan bahawa mana-mana pasukan wajib melepaskan pemain mereka untuk sebarang program kelolaan badan induk berkenaan sama ada ia kem latihan ataupun program lain seperti klinik berkenaan.
Perbezaan penutup buat Selangor bagi cerita yang dilihat sama seperti JDT itu membuatkan ada sesetengah penyokong kembali mempersoalkan konsistensi badan induk berkenaan terhadap kelab-kelab Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram