Kenny Pallraj berdepan penggantungan, denda


  • Podium
  • Jumaat, 08 Apr 2022

Kenny dilayangkan kad merah akibat menampar kepala pemain JDT ketika aksi Liga Super pada Rabu. — Instagram/Kenny Pallraj

PEMAIN tengah KL City FC, Kenny Pallraj mencetuskan kontroversi selepas perlawanan menentang Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super pada Rabu selepas memuatnaik satu hantaran Instastory mengkritik bola sepak Malaysia.

Dia yang tidak berpuas hati kerana menerima kad merah selepas menampar kepala pemain lawan, Leandro Velazquez membuat kenyataan mengatakan bahawa bola sepak Malaysia masih dijajah.

"Malaysia dah merdeka namun bola sepak Malaysia masih dijajah," menurut hantaran Instastory tersebut.

Susulan hantarannya itu, Kenny berkemungkinan dikenakan tindakan tegas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mengeluarkan kritikan secara terbuka, berdasarkan kes-kes serupa sebelum ini.

Antara tindakan yang boleh dikenakan terhadapnya adalah penggantungan untuk beberapa tempoh dan denda berbentuk wang tunai, seperti yang pernah dikenakan terhadap beberapa individu sebelum ini.

Disember tahun lalu, ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan didenda sebanyak RM10,000 gara-gara melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM.

Rezal Zambery membuat kenyataan berhubung mutu pengadilan ketika pasukannya bertemu Sabah FC dalam aksi Piala Malaysia kerana berang dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan dua sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Bagaimanapun,memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM dan mengenakan penggantungan selama satu bulan pertama dahulu dan menangguhkan baki satu bulan seterusnya tertakluk kepada kepada kelakuan baik beliau.

Sementara itu, bekas ketua jurulatih Sarawak United yang kini menjadi pembantu jurulatih Harimau Malaya, E Elavarasan pada September tahun sama juga pernah dikenakan dikenakan penggantungan selama 12 bulan dan denda RM10,000 selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM kerana membuat kenyataan pada sesi temu ramah selepas perlawanan tanpa kebenaran FAM.

Bagaimanapun, FAM turut mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM dan menangguh hukuman tersebut terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik Elavarasan selama 12 bulan.

Artikel 61 Kod Tatatertib FAM menjelaskan bahawa pegawai atau pemain tidak boleh membuat apa-apa kenyataan kepada media, secara lisan atau bertulis tanpa kelulusan atau kebenaran bertulis atau lisan daripada Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di bawah Artikel 88 Statut FAM atau peraturan-peraturan atau arahan-arahan atau pekeliling yang telah dikeluarkan.

"Di mana kelulusan atau kebenaran telah diberikan, kenyataan yang dibuat atau diberikan kepada media hendaklah mengikut Artikel 88 Statut FAM dan mana-mana peraturan-peraturan atau arahan-arahan atau pekeliling FAM yang sedang digunapakai atau yang akan dikeluarkan pada masa akan datang," menurut artikel itu.

Majoriti sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada FAM berhubung tindakan yang mungkin akan dikenakan terhadap Pallraj. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram