Terlepas pandang oleh KPG, bintang pinjaman JDT antara yang dapat nafas baharu di bawah Pau Marti


  • Podium
  • Selasa, 19 Nov 2024

Sentuhan Pau Marti buat Harimau Malaya masih belum dihargai sebaiknya peminat bola sepak negara. — Facebook/FAM

PENILAIAN terhadap skuad kebangsaan di bawah bimbingan Pau Marti Vicente masih belum boleh dilakukan ketika ini kerana dia hanya memegang tampuk kejurulatihan untuk kira-kira tiga bulan.

Dia yang memikul peranan itu sejak pengunduran Kim Pan-gon tidak meraih kepercayaan penyokong meskipun sudah mengecapi beberapa keputusan memberangsangkan.

Kejayaan Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka tidak menceritakan kebolehan sebenar pasukan memandangkan mereka hanya berdepan Filipina dan Lubnan sepanjang kejohanan singkat itu.

BACA LAGI: Tiba-tiba sihat, fans tercengang Natxo turun 'friendly' JDT lepas tarik diri panggilan Harimau Malaya

BACA LAGI: Wan Kuzain antara 2 senarai 'bocor', cuma masih belum dapat restu fans Harimau Malaya

WhatsApp Image 2024-11-18 at 8.29.57 PM

Pau Marti (kiri) mewarisi tampuk kejurulatihan Harimau Malaya daripada Pan-gon.

Malah, selepas itu, prestasi mengecewakan sepanjang kira-kira seminggu meluangkan masa di New Zealand gagal membuahkan hasil dengan kekalahan memalukan dialami di tangan negara tersebut.

Meskipun berjaya bangkit dengan kemenangan ke atas Laos, penilaian sebenar tidak boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada sentuhan Pau Marti cukup untuk memberikannya status kekal.

Namun, pujian masih perlu diberikan terhadap jurulatih kelahiran Sepanyol berkenaan kerana dia membawa nafas baharu terhadap beberapa pemain yang menyarung jersi Harimau Malaya buat pertama kali.

Melihat kepada skuad yang dipanggil setakat bulan-bulan kendaliannya, terdapat tiga pemain yang diberikan debut pasukan utama selain meraih kepercayaan lebih baik berbanding sepanjang berada di bawah bimbingan Pan-gon.

1. Zhafri Yahya

Sepanjang bermusim-musim membuktikan kebolehan bersama Kuala Lumpur (KL) City FC, pemain sayap serba boleh, Zhafri Yahya masih gagal meraih slot dalam skuad kebangsaan.

Dia yang menjadi nadi utama pasukan ketika mereka menjulang Piala Malaysia 2021 kerap disisihkan pihak kejurulatihan Harimau Malaya, terutamanya daripada Pan-gon yang lebih mempercayai penyerang lain.

Namun, sejak Pau Marti diberikan peranan itu, pemain kelahiran Selangor tersebut menjadi antara yang terawal disenaraikan berikutan prestasi konsisten ditunjukkan di peringkat kelab.

466895779_1269014290838471_2205163689443434276_n

Zhafri mula meraih kepercayaan bermakna daripada Pau Marti. Facebook/FAM

Hal berkenaan dibuktikan ketika aksi berdepan Laos pada Khamis lalu apabila Zhafri diletakkan dalam kesebelasan utama buat pertama kali selepas meraih beberapa penampilan antarabangsa.

Meskipun tidaklah memberikan aksi terbaik, tonggak skuad Warga Kota itu membuktikan dirinya boleh membawa sumbangan dalam pasukan tanpa mengira peranan diberikan.

Jika pemain berusia 30 tahun itu kekal cergas, tidak mustahil sekiranya Pau Marti akan menjadikannya nadi serangan pasukan dalam saingan Piala AFF yang akan berlangsung bermula Disember depan.

2. Fergus Tierney

Kecederaan dialami penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Romel Morales dan bintang Sabah FC, Darren Lok memberikan kerunsingan kepada Pau Marti dalam memperkuatkan barisan serangan bagi aksi berdepan Laos dan India kali ini.

Jadi, untuk menyelesaikan isu berkenaan, skuad kebangsaan mengambil inisiatif memanggil seorang lagi pemain berdarah Harimau Selatan, Fergus Tierney yang sebelum ini hanya diletakkan dalam senarai bersedia.

Dia yang kini dipinjamkan ke kelab Thailand, Chonburi FC itu sudah lama disebut-sebut sebagai calon muda terbaik untuk beraksi di posisi terbabit melihat kepada prestasinya di peringkat kelab.

467295267_1270077597398807_5423169299605031772_n

Fergus diserap ke dalam skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain senior yang cedera. Facebook/FAM

Malah, potensinya dapat dilihat sepanjang beberapa kali 'ubi muda' JDT itu mewakili skuad muda negara dengan persembahan cukup baik ditampilkan bagi membantu pasukan.

Pemain itu juga sempat mencipta debut ketika Harimau Malaya menundukkan Laos di Bangkok, Thailand dengan peluang berkenaan sudah pasti akan menaikkan lagi kecintaannya terhadap negara.

Melihat kepada situasi terkini, Fergus juga berpeluang dipanggil ke saingan Piala AFF akan datang memandangkan skuad kebangsaan berkemungkinan tidak dibarisi bintang negara.

3. Harith Haiqal Adam Afkar

Barisan pertahanan Harimau Malaya sememangnya tidak bermasalah kebelakangan ini melihat kepada lambakan pilihan dimiliki barisan kejurulatihan, baik dalam kalangan pemain berpengalaman mahupun yang muda.

Nama-nama seperti Shahrul Saad, Dion Cools dan Dominic Tan merupakan sebahagian yang kerap diturunkan kerana sudah mengumpul kaps antarabangsa sejak bertahun-tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Pau Marti untuk membariskan pemain baharu dalam pasukannya kerana baru-baru ini, dia mengambil keputusan meletakkan nama bek tengah Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar.

466787612_1269017204171513_1132120416006882340_n

Harith Haiqal sudah menjaringkan gol pertamanya buat Harimau Malaya. Facebook/FAM

Pemain itu sememangnya tidak asing dalam kalangan peminat Harimau Malaya kerana dia menjadi tonggak skuad muda negara dengan kematangannya sudah dapat dikesan di peringkat belia.

Kualiti ditonjolkan bersama Selangor FC menyaksikannya diletakkan dalam kesebelasan utama ketika mereka berdepan New Zealand, namun penampilan pertamanya kurang disenangi penyokong.

Kecaman demi kecaman itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Harith Haiqal yang berikrar untuk bangkit mencurahkan bakti demi Harimau Malaya meskipun tidak putus menerima kecaman.

Hal itu segera dibuktikan pemain berusia 24 tahun berkenaan menjaringkan gol pertamanya dalam jersi skuad kebangsaan ketika mereka menundukkan Laos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram