PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola dilaporkan telah mengadakan rundingan rahsia mengenai kemungkinan menjadi pengurus pasukan nasional Brazil selepas kejohanan Piala Dunia 2026.
Guardiola, yang kini menghampiri enam bulan terakhir kontraknya bersama Manchester City, dijangka membuat keputusan mengenai masa depannya tidak lama lagi.
Beberapa laporan menjangka Guardiola bakal menandatangani lanjutan kontrak selama setahun yang membawa beliau kekal di Etihad sehingga penghujung musim 2025/26.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya 9 penampilan 2024, Luqman Hakim bakal kembali ke Belgium sebelum jadi ejen bebas
BACA LAGI: Negeri Sembilan Antlers pertahan gelaran, juara STL Champions Cup 2024
Menurut laporan SPORT, rancangan Brazil untuk Guardiola akan bermula pada 2026 selepas pemilihan Presiden Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF).
Penggal semasa Presiden Ednaldo Rodrigues akan berakhir pada Mac 2026, dan bekas penyerang Real Madrid, Ronaldo Nazario, dikhabarkan sedang bersiap sedia untuk bertanding merebut jawatan tersebut.
Ronaldo, yang kini merupakan presiden kelab La Liga, Real Valladolid, dilaporkan telah menyatakan hasrat secara peribadi untuk menerajui bola sepak Brazil.
Malah, Ronaldo telah menghubungi Guardiola dengan rancangan untuk melantiknya sebagai pengurus Brazil selepas pilihan raya.
Hubungan antara Ronaldo dan Guardiola dikatakan akrab sejak mereka menjadi rakan sepasukan di Barcelona.
Selain itu, saudara Guardiola, Pere, yang juga terlibat dalam perancangan ini, pernah bekerjasama dengan Ronaldo sebelum ini.
Setakat ini, Guardiola belum memberikan jawapan muktamad kepada cadangan tersebut.
Pengurus Manchester City itu masih mempertimbangkan masa depannya di Etihad, namun peluang untuk mencuba pengalaman baharu bersama pasukan nasional Brazil selepas 2026 dikatakan menarik perhatian beliau. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram