JENDELA FIFA yang dibuka memberi ruang buat Johor Darul Ta'zim (JDT) mengadakan aksi persahabatan demi memastikan pemain yang tidak dipanggil mewakili negara masing-masing berada dalam tahap kecergasan terbaik.
Kelab Singapura, Lion City Sailors menjadi pilihan skuad Harimau Selatan yang berada di kedudukan teratas liga selain beraksi cemerlang dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu itu menyaksikan ribuan penyokong hadir bagi menyaksikan persembahan anak-anak buah Hector Bidoglio.
BACA LAGI: 'Midfield' tempang tanpa Natxo Insa-Mukhairi, Pau Marti taruh harapan tinggi kepada duo berbisa
BACA LAGI: 'On fire' di JDT, kepulangan Natxo Insa ke Harimau Malaya buat ramai tak senang duduk
Natxo diturunkan ketika JDT berdepan Lion City Sailors. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, seperti diramal, JDT mudah meraih kemenangan dalam pertembungan berkenaan dengan bek tengah, Shahrul Saad menjaringkan gol tunggal pada minit ke-88 permainan.
Namun, di sebalik kemeriahan perlawanan tersebut, penyokong bola sepak tanah air sedikit kecewa apabila mendapati pemain tengah, Natxo Insa berada dalam kesebelasan utama mereka.
Perasaan itu timbul kerana pemain berusia 38 tahun berkenaan sebelum ini menarik diri daripada panggilan skuad kebangsaan akibat kecederaan yang dialami beberapa hari sebelum mereka berlepas ke Thailand.
"Boleh komen ke ni? Tiba-tiba sahaja sihat, bukankah kata alami kecederaan? Apakah maksud semua ini?" soal Amir Asyraf.
Keberadaan Natxo (kanan) dalam skuad kebangsaan sememangnya diharapkan. — Facebook/FAM
"Setiap kali beraksi dengan kelab, elok sahaja kau ya Natxo. Main untuk negara macam-macam jenis penyakit alami," kata Yun Naqib.
"Cepat betul sembuh ya Natxo ni, baru sahaja dengar dia alami kecederaan. Elok pula boleh turun untuk aksi persahabatan," kata Zam Naim.
Sebelum ini, pemain berdarah Sepanyol itu pernah menarik diri daripada panggilan skuad kebangsaan akibat kecederaan sehingga membuatkan penyokong tidak mahu lagi melihat kelibatnya menyarung jersi Harimau Malaya.
Namun, kehadirannya dalam pasukan negara sememangnya diperlukan kerana pengalamannya dalam mengawal bahagian tengah Harimau Malaya dapat membawa perubahan besar.
Sekiranya sudah berada pada tahap kecergasan sebenar, Natxo sudah pasti akan diturunkan bagi aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite menentang Shandong Taishan pada 26 November depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram